LELAKI berusia 37 tahun direman selama tiga hari selepas dipercayai mencuri pokok lidah jin. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
LELAKI berusia 37 tahun direman selama tiga hari selepas dipercayai mencuri pokok lidah jin. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


PENGANGGUR nekad mencuri pokok lidah jin gara-gara terperdaya dengan tular yang mendakwa harga pokok hiasan itu dikatakan boleh mencecah sehingga RM200 sepokok.

Menurut sumber, kejadian berlaku di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Kuala Berang kira-kira 6.15 petang pada 24 Jun lalu.

Katanya, kehadiran suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan pusat asuhan berkenaan disedari seorang pengajar.

"Wanita terbabit kemudian mengajak rakannya untuk membuat pemeriksaan dan suspek memaklumkan singgah di kawasan berkenaan untuk mencuci tangan sebelum beredar.

"Hasil pemeriksaan mendapati lima pokok lidah jin yang ditanam dalam pasu hilang dan berada dalam bakul motosikal ditunggang suspek yang ketika itu melarikan diri.

"Susulan laporan dibuat, suspek berusia 37 tahun ditahan di rumahnya di daerah ini kira-kira 5.30 pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman tiga hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 4:21 PM