AHLI penyelidik China berjaya menemukan pelbagai jenis bahan kaca daripada sampel tanah di Bulan yang dibawa pulang prob Chang’e-5.  FOTO Agensi
AHLI penyelidik China berjaya menemukan pelbagai jenis bahan kaca daripada sampel tanah di Bulan yang dibawa pulang prob Chang’e-5. FOTO Agensi
BERNAMA

Jiuquan: China menyasarkan untuk menyempurnakan misi pendaratan manusia di Bulan menjelang 2030, menurut Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA).

Naib Pengarah CMSA, Lin Xiqiang berkata, projek penerokaan Bulan yang dikendalikan China kini menyaksikan bermulanya fasa pendaratan membabitkan angkasawan.

"Penyelidikan saintifik dan eksperimen teknologi yang berkaitan akan dilakukan di Bulan.

"Antara objektif lain termasuk menguasai teknologi utama seperti perjalanan ulang-alik di antara Bumi dan Bulan, singgah di permukaan Bulan dan penerokaan bersama manusia-robot," kata beliau semasa sidang media di sini, pagi tadi.

Lin turut mengumumkan kapal angkasa Shenzhou-16 akan dilancarkan tepat pada pukul 9.31 pagi esok, dengan membawa tiga orang angkasawan iaitu Jing Haipeng, Zhu Yangzhu dan Gui Haichao.

Selaku komander misi Shenzhou-16, Jing akan menjadi angkasawan pertama China yang menjalankan misi penerbangan sebanyak empat kali.

Misi itu juga menampilkan dua muka baharu iaitu Zhu yang bertugas sebagai jurutera penerbangan dan Gui, seorang profesor Universiti Beihang yang juga pakar muatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 4:12 PM