TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan kejadian berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan kejadian berkenaan.
AFP

Seoul: Syarikat penerbangan Korea Selatan, Asiana Airlines tidak lagi menawarkan penjualan tempat duduk di bahagian pintu kecemasan pesawat.

Asiana Airlines berkata, langkah itu selepas insiden seorang penumpang membuka pintu keluar kecemasan ketika pesawat belum mendarat.

"Bermula Ahad, tempat duduk kecemasan 31A dan 26A dalam pesawat 14 A321-200 tidak lagi ditawarkan untuk dijual.

"Sebagai keselamatan, langkah ini akan terpakai walaupun penerbangan penuh," kata syarikat penerbangan itu kepada AFP.

Insiden itu berlaku di atas pesawat A321-200, yang membawa hampir 200 penumpang ketika menghampiri landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu, kira-kira 240 kilometer di tenggara Seoul.

Pesawat mendarat dengan selamat, namun beberapa penumpang dimasukkan ke hospital.

Tiada kecederaan serius atau kerosakan dilaporkan berlaku dalam insiden itu.

Lelaki itu ditahan pihak berkuasa di Daegu kerana didakwa melanggar undang-undang keselamatan penerbangan.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Lelaki itu berusia 30-an, memberitahu polis Daegu, dia ingin keluar dari pesawat kerana berasa lemas duduk lama dalam kabin.

Dia juga pernah mengalami tekanan akibat menganggur, kata pihak berkuasa.

Seorang penumpang berhampiran merakam video angin bertiup kencang melalui pintu terbuka dan beberapa orang menjerit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 3:14 PM