PESAWAT Jeju Air. FOTO Facebook
PESAWAT Jeju Air. FOTO Facebook
Agensi

Seoul: Polis Korea Selatan menahan remaja yang didakwa cuba membuka pintu pesawat Jeju Air semasa penerbangan, Isnin lalu.

Agensi berita Yonhap melaporkan, pintu pesawat Boeing 737 itu tidak dibuka sepenuhnya dan tiada seorang pun daripada 180 penumpang di dalamnya cedera.

Menurut Jeju Air, remaja berusia 19 tahun itu mula bertindak pelik kira-kira sejam dalam penerbangan dari Cebu, Filipina, ke Incheon, bandar Korea Selatan bersempadan dengan ibu kota Seoul.

Katanya, dia dilaporkan mengadu merasa tekanan di dadanya.

"Kru udara kemudian menawarkan untuk memindahkan remaja itu ke tempat duduk lain, iaitu tempat khas untuk kakitangan penerbangan.

"Namun, usaha itu tidak menenangkan hati remaja lelaki itu sebelum tiba-tiba dia berlari ke arah salah satu pintu keluar dan cuba membukanya secara paksa.

"Kru penerbangan dengan dibantu beberapa penumpang berjaya mengawal remaja itu daripada bertindak lebih bahaya," katanya.

Jeju Air berkata, sebaik penerbangan mendarat, dia ditahan polis.

Seorang pegawai Jeju Air memberitahu Yonhap, tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan syarikat berterima kasih atas tindakan pantas anak kapal mengawal keadaan.

Korea JoongAng Daily melaporkan, remaja itu menganggur dan tinggal di Cebu, selama sebulan.

Dia didakwa cuba menyerang kru penerbangan dengan pen.

Seorang penumpang yang menyiarkan rakaman kejadian itu mendakwa pemuda itu mengancam membuka pintu dan membunuh semua orang.

Insiden itu berlaku selepas kejadian sama berlaku pada Mei lalu membabitkan seorang penumpang membuka pintu pesawat Asiana Airlines beberapa minit sebelum mendarat di bandar selatan Daegu hingga menyebabkan panik dalam pesawat itu.

Sembilan penumpang dibawa ke hospital kerana masalah pernafasan.

Lelaki berusia 30-an itu, yang ditahan memberitahu polis, dia berasa sesak nafas dan mahu turun dengan cepat kerana tertekan selepas kehilangan pekerjaan.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 1:06 PM