Agensi

Seoul: Seorang penumpang penerbangan Asiana Airlines memberitahu polis, dia membuka pintu pada pesawat itu beberapa minit sebelum ia mendarat di Daegu, Korea Selatan, pada Jumaat kerana dia berasa "tidak selesa", lapor Agensi Berita Yonhap.

Lelaki itu memberitahu polis bahawa dia "mahu turun dari pesawat dengan cepat", kata Yonhap, memetik seorang pegawai di Balai Polis Daegu Dongbu.

Katanya, dia tertekan selepas kehilangan pekerjaan baru-baru ini.

Pegawai memberi nama keluarganya sebagai Lee tetapi bukan nama penuhnya, seperti kebiasaan.

Lelaki berusia 30-an itu membuka pintu apabila pesawat berada kira-kira 210 meter (m) di atas tanah, menyebabkan panik di dalam pesawat.

Sembilan penumpang dibawa ke hospital kerana masalah pernafasan. Kesemuanya dibenarkan keluar selepas kira-kira dua jam, kata seorang pegawai bomba.

Polis merancang untuk menangkap lelaki terbabit selepas siasatan selesai, kata Yonhap.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan.

PESAWAT Asiana Airlines selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu selepas penumpang membuka pintu kecemasan ketika penerbangan. FOTO AFP
PESAWAT Asiana Airlines selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu selepas penumpang membuka pintu kecemasan ketika penerbangan. FOTO AFP

Klip video yang dirakam oleh seorang penumpang menunjukkan angin kencang masuk dari pintu yang terbuka, dan menyebabkan beberapa penumpang menjerit kerana terkejut.

Satu lagi video yang dikongsi di media sosial menunjukkan penumpang duduk di barisan di sebelah pintu kecemasan yang terbuka.

"Ia huru-hara dengan orang yang dekat dengan pintu kelihatan pengsan seorang demi seorang dan pramugari memanggil doktor di dalam pesawat," seorang penumpang, 44, memberitahu Yonhap.

"Saya fikir pesawat itu meletup. Saya fikir saya akan mati."

Seorang pegawai kementerian pengangkutan memberitahu AFP bahawa ini adalah "kejadian pertama" yang mereka ketahui dalam sejarah penerbangan Korea.

Pakar berkata, industri penerbangan Korea Selatan mempunyai rekod keselamatan yang baik.

Bekas pegawai keselamatan kabin Korean Air, Jin Seong-hyun berkata, setakat yang dia tahu, kes ini tidak pernah berlaku, tetapi pernah ada penumpang membuka pintu keluar kecemasan tanpa kebenaran sebelum ini tetapi semasa pesawat itu berada di atas tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 9:43 AM