Mei lalu, seorang penumpang membuka pintu kecemasan pesawat Asiana Airlines beberapa minit sebelum mendarat. FOTO Reuters
Mei lalu, seorang penumpang membuka pintu kecemasan pesawat Asiana Airlines beberapa minit sebelum mendarat. FOTO Reuters
Agensi

Seoul: Hanya anggota bomba, pegawai polis, tentera dan pekerja syarikat penerbangan akan diberi keutamaan untuk mengambil tempat duduk dekat pintu kecemasan dalam pesawat yang membabitkan empat syarikat penerbangan Korea.

The Straits Times melaporkan amalan itu akan digunakan untuk 94 tempat duduk dalam 38 pesawat yang dikendalikan oleh Asiana Airlines, Air Seoul, Air Busan dan Aero K Airlines.

Ia adalah usaha untuk mengelakkan berulangnya insiden di mana seorang penumpang membuka pintu keluar kecemasan sebelum pesawat mendarat.

Wakil Park Dae-chul, dari Parti Kuasa Rakyat yang memerintah berkata, skim tempat duduk baharu itu, seperti yang diluluskan kerajaan, akan dilaksanakan mulai 31 Julai.

Lontaran idea itu timbul selepas beberapa insiden yang membabitkan akses tanpa kebenaran ke pintu kecemasan.

Pada Mei, seorang penumpang membuka pintu kecemasan beberapa minit sebelum mendarat. Pintu itu dilaporkan dibuka selama lapan minit sehingga pesawat itu mendarat.

Dalam satu insiden lain pada Jun, seorang remaja berusia 18 tahun cuba membuka pintu sejam selepas pesawat itu berlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 10:19 AM