FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Singapura: Seorang pembantu rumah menggigit bayi dalam jagaannya kerana bayi itu enggan tidur.

Pembantu rumah itu ditugaskan menjaga sepasang bayi kembar dan dia bertindak menggigit seorang daripada kembar itu kerana bayi itu tidak mahu tidur selepas setengah jam usaha dilakukan untuk menidurkannya.

Masita Khoridaturochmah, 33, dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan atas kesalahan menganiaya bayi dengan sengaja sehingga menyebabkan kesakitan fizikal.

Butiran mangsa dan tempat kejadian digugurkan daripada dokumen mahkamah atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

Tertuduh dipercayai cuba menidurkan bayi kembar itu namun hilang sabar terhadap salah seorang daripadanya selepas kira-kira setengah jam kerana dia merasakan mangsa melengahkan dia untuk melakukan kerja lain.

Pada sekitar pukul 6.30 petang, dia menggigit bayi itu sekali pada tangan kiri, menyebabkannya menjadi lebam.

Ibu mangsa ternampak kesan lebam dalam bentuk tanda gigit pada lengan bayi itu dan mengesyaki tertuduh menggigit anaknya dan menanyakan hal itu kepadanya.

Bagaimanapun tertuduh menafikannya namun, akhirnya mengaku berbuat demikian.

Dia melutut serta meminta maaf dan ibu mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis, lapor CNA.

Hakim Daerah Tan Jen Tse berkata, pencegahan adalah pertimbangan paling utama dalam kes-kes seperti itu.

"Bagi kes penderaan kanak-kanak yang tidak membawa maut membabitkan keganasan fizikal, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya selama enam bulan.

"Parlimen juga menggandakan hukuman terhadap kes sedemikian rupa di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda," katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa tertuduh melakukan kesalahan itu kerana hilang sabar dan dia menyesali perbuatannya itu.

Hakim Tan meluluskan permintaan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara selama seminggu bagi memberi peluang tertuduh menghubungi keluarganya di Indonesia.

Ini kerana tertuduh perlu membuat persiapan untuk pulang ke negara asalnya selepas menjalani hukuman.

Atas kesalahan mendera kanak-kanak dengan sengaja menyebabkan kesakitan fizikal, dia boleh dihukum penjara sehingga lapan tahun, didenda sehingga SG$8,000 (RM26,516), atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 4:48 PM