AFP

Jakarta: Gunung berapi Semeru di Indonesia meletus, pada Ahad, hingga menyebabkan pihak berkuasa menaikkan status amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi.

Letusan gunung tertinggi di Pulau Jawa yang terletak kira-kira 800 kilometer (km) tenggara ibu kota ini menyebabkan penduduk kampung berhampirannya terpaksa dipindahkan.

"Tahap ancaman yang meningkat bermakna bahaya mengancam penempatan penduduk dan aktiviti gunung berapi juga meningkat," kata jurucakap Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVMBG) Hendra Gunawan kepada penyiar Kompas TV.

Dalam pada itu, agensi cuaca Jepun memberi amaran kemungkinan tsunami mungkin berlaku di pulau Miyako dan Yaeyama di wilayah selatan Okinawa, lapor agensi berita Kyodo.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan serta-merta selepas letusan itu.

Tetapi Gunawan memberi amaran kepada penduduk berhampiran supaya tidak melakukan perjalanan dalam lingkungan lapan kilometer dari kawah, selepas tahap ancaman dinaikkan kepada empat.

"Ramai orang sudah mula (berpindah)," kata Thoriqul Haq, ketua pentadbiran tempatan Lumajang kepada Kompas TV.

Menurut rekod, kali terakhir Gunung Semeru meletus adalah setahun lalu dan ia mengorbankan sekurang-kurangnya 51 nyawa.

Bencana itu menyebabkan seluruh jalan dipenuhi lumpur dan abu selain kerosakan rumah serta kenderaan dengan hampir 10,000 individu terpaksa mencari tempat perlindungan.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, di mana pertemuan plat benua menyebabkan aktiviti gunung berapi dan seismik yang tinggi.

Negara kepulauan Asia Tenggara itu mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 3:27 PM