SEORANG pengemis menunggu di kaki lima untuk mendapatkan wang dari orang ramai di sekitar ibu kota. FOTO BERNAMA
SEORANG pengemis menunggu di kaki lima untuk mendapatkan wang dari orang ramai di sekitar ibu kota. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tidak sampai 24 jam selepas mereka dikumpulkan dan butiran diri direkodkan sebelum dibebaskan, kumpulan peminta sedekah kembali melakukan aktiviti mereka di lokasi berbeza di ibu kota.

Ibarat harimau tidak bertaring, undang-undang sedia ada tidak mempunyai kuasa ke atas pengemis.

Baik Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 mahupun Akta Orang-Orang Papa 1977, kedua-duanya tidak menganggap perbuatan mengemis sebagai satu kesalahan.

Perbuatan itu hanya menjadi kesalahan apabila membabitkan kanak-kanak dan ada elemen penipuan serta eksploitasi.

Kedua-dua akta itu bukan seperti Vagrancy Act atau Akta Gelandangan 1824 di United Kingdom yang menjadikan gelandangan atau meminta sedekah sebagai satu kesalahan. Sesiapa yang didapati tidur di tempat awam atau cuba mengemis di England dan Wales boleh ditangkap.

Justeru, timbul persoalan bilakah masalah sosial membabitkan pengemis yang mencemarkan pemandangan di Kuala Lumpur ini akan berakhir.

Kuala Lumpur yang tersenarai di kedudukan ke-32 daripada 60 negara dalam Indeks Bandar Selamat 2021 oleh Economist Intelligence Unit (EIU) turut menjadi lokasi 'paling selamat' buat golongan ini yang banyak ditemukan di kawasan tumpuan ramai dan petempatan padat sehingga wujud koloni pengemis, antaranya Ampang, Chow Kit, Brickfields, Subang dan Shah Alam.

Di Ampang, kebanyakan peminta sedekah adalah warga Rohingya yang rata-rata meraih simpati masyarakat menggunakan kanak-kanak sehingga ada antara mereka yang sanggup menyewa anak rakan senegara bagi tujuan itu.

Di Brickfields pula cukup sinonim dengan kumpulan pengemis orang kurang upaya (OKU) penglihatan bersama tukang pimpin mereka, membabitkan warga Indonesia yang berselindung di sebalik penjualan tisu.

Kegiatan golongan pengemis ini dikesan dalam risikan bersama-sama pihak berkuasa yang menjalankan Op Pintas Bersepadu (Pengemis) selama empat hari bermula 9 Februari lalu di sekitar Lembah Klang.

Banyak yang dibongkar sepanjang operasi, antaranya perbezaan modus operandi pengemis warga asing dan tempatan, dengan warga asing khususnya Rohingya, begitu agresif mendekati orang ramai, sementara peminta sedekah tempatan pula masih dengan cara old school iaitu hanya duduk secara pasif di satu-satu tempat seperti kaki lima, menunggu ihsan orang yang lalu-lalang.

Sepanjang empat hari itu juga wartawan merekodkan pelbagai penipuan yang dilakukan golongan yang kononnya hidup dalam kesempitan ini, antaranya berpura-pura sakit dan daif namun datang mengemis bermotosikal atau menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Tidak kurang juga yang menyewa bilik di kawasan mahal selain memiliki telefon pintar iPhone 13 yang harga melebihi RM4,000.

Bukan itu sahaja, ada pengemis otai yang berkelakuan seperti 'abang long kawasan' dengan memeras 'wang perlindungan' daripada pengemis baharu.

Mereka mungkin tidak hidup mewah, namun rata-rata pengemis terbabit mampu hidup senang dengan hasil kegiatan itu yang seolah-olah sudah menjadi 'kerjaya' mereka kerana kebanyakannya mengemis secara sukarela, bukan dipaksa oleh sindiket seperti yang didakwa.

Sepanjang operasi itu, wartawan juga melihat cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa, termasuk berpanas dan berhujan dalam menjayakan operasi 'mengumpul dan merekodkan butiran diri sebelum dibebaskan semula' tersebut.

"Tak perlu tahan balik (pengemis yang kembali mengemis) kerana kesudahannya sama sahaja (mereka dibebaskan dan terus mengemis)," keluh anggota polis terbabit dalam operasi itu.

SEBAHAGIAN pengemis yang menunggu giliran untuk disoal siasat dalam Op Pintas Bersepadu (Pengemis). FOTO BERNAMA
SEBAHAGIAN pengemis yang menunggu giliran untuk disoal siasat dalam Op Pintas Bersepadu (Pengemis). FOTO BERNAMA

Keluhan penguat kuasa undang-undang itu ada asasnya kerana tidak banyak tindakan boleh diambil terhadap peminta sedekah.

Bagi pengemis kanak-kanak yang diselamatkan, mereka akan dirujuk ke tempat perlindungan untuk diambil tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, manakala individu dewasa tempatan yang tidak mempunyai waris dan berumur bawah 60 tahun akan ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD).

Pengemis berusia 60 tahun ke atas pula dihantar ke Rumah Seri Kenangan (RSK) kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagi pengemis warga asing, mereka akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen, sementara kes peminta sedekah daripada kelompok pelarian pula dibawa ke Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Akta Orang-Orang Papa 1977 yang bertujuan menjaga dan memulihkan orang papa selain mengawal kutu rayau sudah berusia lebih empat dekad, namun sepanjang 45 tahun dikuat kuasa, langsung tiada pindaan dilakukan ke atas undang-undang itu.

Suara menggesa akta lapuk itu dipinda sudah bergema sejak 2014 namun hingga kini suara itu umpama anjing menyalak bukit atau mencurah air ke daun keladi.

Ketika itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diterajui oleh Datuk Seri Rohani Abdul Karim bercadang meminda akta tersebut dengan memperkenalkan elemen penguatkuasaan kerana peruntukan sedia ada hanya untuk melindungi dan memulihkan golongan terbabit.

Selepas hampir lapan tahun, cadangan hanya tinggal cadangan sekalipun pada 2020 Datuk Seri Rina Harun yang mengambil alih kementerian itu, pernah dilaporkan berkata akta tersebut akan dikaji semula bagi membela kebajikan gelandangan dan pengemis.

Ini termasuk usaha menambah baik dan mengaktifkan semula sekretariat penyelarasan bagi menangani isu gelandangan dan peminta sedekah.

Tugas pihak berkuasa dalam menangani isu pengemis bertambah mencabar apabila semakin ramai warga asing, khususnya pelarian Rohingya yang kebanyakannya memegang kad UNHCR, terbabit dalam aktiviti itu

Tidak seperti pengemis warga tempatan, golongan ini dilihat semakin berani dan agresif dengan mengasak orang ramai agar 'bersedekah' kepada mereka.

Mengulas mengenai isu itu, peguam Muhammad Akram Dr Abdul Aziz berkata warga Rohingya pemegang kad UNCHR yang melakukan aktiviti mengemis boleh diambil tindakan undang-undang sekiranya mereka terbabit dengan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 7:10 AM