NOELEEN Heyzer. FOTO Agensi
NOELEEN Heyzer. FOTO Agensi
AFP

Yangon: Perwakilan baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Myanmar memulakan lawatan pertamanya ke negara itu Selasa, sehari selepas mahkamah Junta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun lagi terhadap pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi kerana rasuah.

Noeleen Heyzer 'akan memberi tumpuan kepada usaha menangani keadaan yang semakin merosot dan memerlukan perhatian segera serta bidang keutamaan mandatnya yang lain," menurut kenyataan PBB yang dikeluarkan lewat Isnin.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai siapa yang akan ditemui dalam kalangan kepimpinan tertinggi Junta atau sama ada dia akan berusaha untuk bertemu Suu Kyi.

Pada Isnin, Suu Kyi dijatuhkan hukuman penjara enam tahun lagi di mahkamah Junta, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman dihadapinya selama 17 tahun.

Heyzer dijangka mengadakan mesyuarat di ibu kota yang dibina tentera Naypyidaw, menurut sumber diplomatik yang tidak memberikan butiran lanjut.

Usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis yang diketuai oleh PBB dan blok serantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara sudah mencapai sedikit kemajuan, dengan jeneral enggan terbabit dengan pihak lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 3:25 PM