PASUKAN penyelamat di lokasi kejadian. FOTO cnsphoto/ Reuters
PASUKAN penyelamat di lokasi kejadian. FOTO cnsphoto/ Reuters
AFP

Beijing: Selepas tiga hari, mangsa kelapan yang terperangkap dalam insiden runtuhan bangunan di tengah China ditarik keluar dalam keadaan masih bernyawa.

Agensi berita televisyen kerajaan berkata, harapan untuk menyelamatkan lebih ramai mangsa lain semakin sukar dan tipis.

Bangunan komersial di bandar Changsha, wilayah Hunan yang menempatkan pangsapuri, hotel dan pawagam itu runtuh Jumaat lalu, mencetuskan usaha menyelamat besar-besaran dengan ratusan pasukan kecemasan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikendalikan kerajaan menunjukkan imej seseorang yang dibalut dengan selimut putih tebal dibawa di atas pengusung.

Setakat ini, pasukan penyelamat hanya berjaya menemui lapan mangsa dalam tempoh tiga hari.

Pekerja penyelamat beruniform biru membawa mangsa ke hospital serta maklumat lanjut mengenai mereka masih belum disahkan.

Menurut agensi berita kerajaan Xinhua, mangsa kelapan yang terselamat ialah seorang wanita dengan keadaan anggota badannya tersepit serpihan yang menyukarkan pasukan penyelamat mengeluarkannya dari runtuhan.

"Pasukan perubatan kecemasan menggunakan tiub infusi berukuran kira-kira tiga meter panjang untuk menyampaikan larutan garam biasa kepadanya," katanya.

Pasukan kecemasan masih meneruskan usaha mencari mangsa yang terselamat dengan tidak menggunakan jentera untuk mengelak daripada mewujudkan getaran dalam struktur yang runtuh.

Sekurang-kurangnya 15 orang yang dikenal pasti pihak berkuasa masih terperangkap dalam runtuhan, manakala tiada maklumat lanjut mengenai 39 mangsa lain.

Sehari sebelumnya, mangsa ketujuh yang terselamat ditemukan dalam keadaan bernyawa selepas 50 jam operasi mencari dan menyelamat, menurut penyiar CCTV negeri.

Dinding setebal satu meter memisahkannya daripada penyelamat yang menemuinya selepas mengesan tanda-tanda orang hidup di tempat kejadian.

Polis Changsha berkata, sembilan orang termasuk pemilik bangunan dan sepasukan pemeriksa keselamatan ditahan berhubung kemalangan itu.

Pihak berkuasa mendakwa juruukur memalsukan audit keselamatan bangunan.

Lebih 700 pasukan penyelamat pertama dihantar ke tempat kejadian yang meninggalkan lubang ternganga dalam landskap jalan yang padat.

Presiden Xi Jinping Sabtu lalu menggesa pencarian walau apa pun dan mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap punca runtuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 10:43 AM