PASUKAN penyelamat mengusung Melisa Ulku yang diselamatkan dari runtuhan di daerah Elbistan, Kahramanmaras. FOTO AFP
PASUKAN penyelamat mengusung Melisa Ulku yang diselamatkan dari runtuhan di daerah Elbistan, Kahramanmaras. FOTO AFP
AP

Latakia, Syria: Mangsa terselamat masih terus ditemukan, walaupun angka korban akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu terus meningkat melebihi 28,000 di di dua negara berjiran itu.

Antara terselamat, Ibrahim Zakaria, 23, pekerja kedai telefon bimbit di bandar Jableh di Syria yang sebenarnya sudah pun putus asa bahawa dia akan diselamatkan.

"Ketika terperangkap di bawah timbunan runtuhan bangunan, saya berkata dalam hati bahawa saya akan mati dan mustahil untuk saya hidup," kata Zakaria, yang diselamatkan pada malam Jumaat.

Dia memberitahu demikian kepada The Associated Press yang melawatnya pada Sabtu di sebuah hospital di bandar pantai Latakia.

REAKSI pasukan penyelamat selepas menemui Melisa Ulku dari runtuhan di daerah Elbistan, Kahramanmaras. FOTO AFP
REAKSI pasukan penyelamat selepas menemui Melisa Ulku dari runtuhan di daerah Elbistan, Kahramanmaras. FOTO AFP

Lima hari selepas dua gempa bumi kuat yang berlaku selang beberapa jam itu, ia sudah menyebabkan beribu-ribu bangunan runtuh, membunuh lebih daripada 28,000 orang serta menyebabkan berjuta-juta kehilangan tempat tinggal.

Namun penyelamat masih dapat menarik mangsa yang pada logiknya tidak mungkin terselamat dari runtuhan, seorang daripadanya bayi berusia tujuh bulan.

Setiap penyelamatan mendapat pelukan dan teriakan Allahuakbar!

Lelaki dan wanita yang letih bekerja dalam pasukan mencari dan menyelamat tanpa jemu dalam suhu membeku untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap.

Di Antakya, ibu kota wilayah Hatay, Turkiye, kru penyelamat yang berselerak masih bekerja keras, tetapi ramai penduduk sudah beredar pada Sabtu.

Di Elbistan, sebuah daerah di wilayah Kahramanmaras, Turkiye, Melisa Ulku, 20, dan seorang lagi diselamatkan daripada runtuhan, 132 jam selepas gempa bumi itu.

Sebelum mangsa dibawa ke tempat selamat, polis meminta orang ramai supaya tidak bersorak atau bertepuk tangan supaya tidak mengganggu usaha menyelamat berhampiran.

Di wilayah Gaziantep, yang bersempadan dengan Syria, lima sekeluarga diselamatkan dari bangunan di bandar Nurdagi, dan seorang lelaki serta anak perempuannya yang berusia tiga tahun terselamat selepas ditarik dari runtuhan di bandar Islahiye, lapor rangkaian televisyen HaberTurk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 12:24 PM