PASUKAN tentera Israel menghampiri sempadan di selatan Gaza. FOTO AFP.
PASUKAN tentera Israel menghampiri sempadan di selatan Gaza. FOTO AFP.
Agensi

Baitulmaqdis: Tentera Israel mendakwa berjaya membunuh komander pasukan elit Hamas Briged Al-Qassam yang bertanggungjawab terhadap serangan mengejut pada 7 Oktober lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Ahad, pasukan itu mendakwa, "pesawat perang di bawah bimbingan perisikan (agensi keselamatan) Shin Bet membunuh Bilal Al-Qudra di Semenanjung Gaza, iaitu komander pasukan Nakhaba, batalion selatan Khan Yunis di bawah Hamas."

Menurut tentera Israel yang dipetik Agensi Anadolu, Qudra bertanggungjawab terhadap serbuan di wilayah diduduki, Kibbutz Nirim dan Nir Oz.

Rejim Zionis itu menambah, pasukannya juga menyerang lebih 100 tentera sasaran di kejiranan Zeytun, Khan Yunis dan Jablia Barat, bersama aset keupayaan Hamas seperti markas dan kompaun ketenteraan, berpuluh-puluh pelancar, pos pemerhati dan pos anti kereta kebal tangki.

Hujung minggu lalu, dalam ketegangan yang memuncak, tentera Israel melancarkan serangan ketenteraan berterusan terhadap Semenanjung Gaza, sebagai balasan kepada serangan kumpulan Palestin Hamas di wilayah diduduki Israel.

Konflik bermula apabila Hamas melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa terhadap Israel, serangan mengejut pelbagai serampang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Hamas berkata, operasi itu sebagai tindakan balas terhadap serbuan di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan keganasan penerokaan Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.

Tindak balas Israel membawa kepada pemotongan bekalan air dan elektrik di Gaza, yang melumpuhkan Gaza yang dalam kepungan sejak 2007 selain mengarahkan lebih sejuta penduduk di utara berpindah ke selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 8:52 AM