SEBUAH loji di Ashkelon di bandar selatan dikuasai Israel terkena roket Hamas. FOTO AFP
SEBUAH loji di Ashkelon di bandar selatan dikuasai Israel terkena roket Hamas. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Lebih 1,000 roket didakwa dilancarkan pejuang Palestin ke arah wilayah dikuasai Israel sejak malam Isnin lalu, menurut tentera Israel.

Jurucakap tentera Israel Jonathan Conricus memberitahu pemberita bahawa angka itu mengambil kira serangan bermula 6 petang waktu tempatan pada Isnin, apabila Hamas melancarkan roket ke arah Baitulmaqdis.

Sejak itu katanya, 850 roket dilancarkan daripada pelbagai kumpulan di Gaza, mengenai kawasan dikuasai Israel atau ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udaranya.

Conricus berkata, 200 lagi jatuh di dalam kawasan Semenanjung Gaza.

Tentera Israel juga mendakwa pihaknya memintas satu dron milik Hamas pada awal Rabu.

Operasi ketenteraan Israel itu dikenali sebagai 'The Guardian of the Walls' itu membabitkan serangan udara ke Semenanjung Gaza yang dikenakan sekatan oleh rejim itu.

Rejim Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza pada malam Isnin dan Selasa, sebagai tindak balas kepada Hamas yang melancarkan roket ke arah wilayah dikuasai Israel. Pertempuran yang terus berlaku sehingga kini itu berpunca daripada insiden di Masjidil al-Aqsa, susulan tindakan Israel yang mengusir penduduk Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Selain itu, ia juga disebabkan tindakan pasukan keselamatan Israel memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa.

Pada malam Selasa, Hamas melancarkan roket menyasarkan hab ekonomi Israel, Tel Aviv, pada Selasa sebagai tindak balas kepada Israel yang melancarkan serangan memusnahkan satu blok bangunan 12 tingkat di Gaza.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 35 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, termasuk 10 kanak-kanak dan lebih 220 orang lagi cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 2:04 PM