LOKASI tiga rakyat Palestin dibunuh tentera Israel, pada Jumaat. FOTO AFP
LOKASI tiga rakyat Palestin dibunuh tentera Israel, pada Jumaat. FOTO AFP
Reuters

Baitulmaqdis: Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, sebagai tindak balas serangan roket dari Palestin ke sebuah kota di selatan Israel, pada Sabtu.

Siren amaran dibunyikan di Ashkelon selepas roket dilepaskan dari Palestin, namun tidak ada laporan mengenai kemalangan jiwa di Gaza dan Israel.

Israel mendakwa Hamas bertanggungjawab melepaskan roket itu, bagaimanapun belum ada maklum balas daripada Hamas berhubung serangan itu, mahupun tuntutan mana-mana kumpulan yang lain.

"Sebagai tindak balas kepada serangan roket itu, pesawat Angkatan Pertahanan Israel melancarkan serangan ke sasaran kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza," menurut tentera Israel dalam satu kenyataan.

Ketegangan memuncak di persempadanan Israel-Gaza sejak Mei tahun lalu yang menyaksikan pertempuran selama 11 hari.

Pada Jumaat, tentera rejim Zionis itu membunuh tiga lelaki Palestin di Jenin sebagai tindak balas beberapa serangan jalanan di Israel.

Hamas mendakwa seorang daripada yang terbunuh itu adalah anggotanya, selain kumpulan jihad Islam lain turut mendakwa anggota mereka antara yang terbunuh.

Rundingan perdamaian Amerika Syarikat (AS) yang mahu menubuhkan negara Palestin di timur Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza pada 2014 gagal dan tidak ada tanda pemulihan rundingan itu.

Presiden AS Joe Biden dijangka bertemu pemimpin Israel dan Palestin sempena lawatannya ke rantau itu Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 2:12 PM