ORANG ramai melintasi poster yang menunjukkan langkah mengekang penularan Covid-19. FOTO AFP.
ORANG ramai melintasi poster yang menunjukkan langkah mengekang penularan Covid-19. FOTO AFP.
AFP

Seoul: Korea Selatan merekodkan lebih 600,000 kes koronavirus pada Khamis, dengan pihak berkuasa mengatakan negara itu hampir mencapai puncak gelombang jangkitan didorong penularan varian Omicron.

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Korea Selatan berada di kedudukan teratas dunia dalam kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh tujuh hari kebelakangan ini dengan 2,417,174 jangkitan, diikuti Vietnam dengan 1,776,045.

Sebanyak 621,328 kes yang direkodkan Khamis dan ia adalah angka harian tertinggi Korea Selatan sejak wabak itu bermula.

Bagaimanapun, kes kritikal dan kematian kekal rendah secara perbandingan di negara yang mempunyai sekitar 52 juta penduduk dengan majoriti orang dewasa sudah menerima vaksin sepenuhnya dan suntikan penggalak, data rasmi.

"Kami sudah bersedia mengenai peningkatan bilangan pesakit sejak varian Omicron menjadi dominan," kata Lee Sang-won, seorang pegawai kanan di Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) pada Khamis.

Namun, katanya, kerajaan tidak menjangkakan ia mencapai jumlah ini.

"Jumlah itu jauh lebih besar daripada yang dijangkakan," katanya.

Pihak berkuasa kesihatan percaya Korea Selatan menghampiri kemuncak gelombang yang dipacu varian Omicron, tetapi Lee berkata, mereka sedang mengira semula 'skala kes yang disahkan atau berapa lama 'tempoh puncak' akan berlaku".

Apabila ia berlalu, pegawai percaya Korea Selatan akan mula pulih seperti biasa.

"Saya fikir ini akan menjadi krisis besar terakhir dalam tindak balas keseluruhan terhadap Covid-19," kata Sohn Young-rae, seorang pegawai kanan kementerian kesihatan, pada Rabu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 3:36 PM