FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
BERNAMA

Seoul: Presiden Korea Selatan Moon Jae-in berkata, negara itu telah melepasi kemuncak gelombang terburuk Covid-19, disebabkan varian Omicron yang sangat mudah menular.

Bagaimanapun beliau meminta usaha dipertingkat untuk memastikan bilangan pesakit yang kritikal dan kematian terkawal, menurut agensi berita Yonhap.

"Baru-baru ini, Omicron sudah mencapai kemuncaknya dan penyebaran virus itu semakin perlahan," kata Presiden Moon dalam pertemuan beliau dengan pembantu kanannya.

Namun, Moon berkata Korea Selatan masih belum terlepas daripada ancaman gelombang Omicron. Beliau memberi amaran jumlah pesakit yang sakit teruk atau kritikal serta kematian dijangka meningkat.

Presiden Moon menggesa kerajaan agar melakukan segala yang termampu untuk menstabilkan tindak balas perubatan dengan tumpuan ke arah mengurangkan bilangan pesakit yang sakit teruk atau kritikal serta kematian, tambah Yonhap.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya mendapatkan suntikan penggalak sambil menekankan bahawa tiga pusingan vaksin telah mengurangkan bahaya daripada Covid-19.

Kes baharu Covid-19 di negara itu turun di bawah 200,000 buat pertama kali dalam 25 hari pada Isnin, dengan pihak berkuasa kesihatan mengatakan bahawa gelombang Omicron mencapai kemuncaknya sekitar minggu lalu.

Kira-kira 64 peratus penduduk negara itu sudah menerima suntikan penggalak.

Seramai 44.47 juta atau 86.7 peratus penduduk pula sudah lengkap divaksin, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 7:58 PM