Ferdinand Marcos (tengah) bersama isteri, Louise (kiri) dan adiknya, Imee (kanan).. - FOTO Reuters
Ferdinand Marcos (tengah) bersama isteri, Louise (kiri) dan adiknya, Imee (kanan).. - FOTO Reuters
Reuters

Manila: Kementerian Keadilan Filipina mengarahkan pihak berkuasa menyiasat ugutan bunuh terhadap calon presiden, Ferdinand Marcos Jr, yang dihantar menerusi media sosial TikTok.

Setiausaha Jabatan Keadilan (DOJ), Menardo Guevarra berkata, siasatan dimulakan selepas mendapat maklumat daripada unit jenayah siber.

"Jika ugutan bom diberi perhatian serius, maka ugutan bunuh juga harus dipandang serius, sama ada betul atau tidak," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, Biro Penyiasatan Kebangsaan (NBI) akan memberi keutamaan kepada sebarang maklumat sahih berhubung ancaman keselamatan terhadap mana-mana calon presiden.

Marcos, juga dikenali sebagai Bongbong dan BBM, adalah anak kepada bekas pemimpin Filipina, Ferdinand Marcos Sr dan kini antara calon popular pada pemilihan presiden 9 Mei ini.

Ketua unit jenayah siber DOJ, Charito Zamora berkata, pejabatnya menerima 'laporan teks' daripada rakyat prihatin kelmarin mengenai paparan TikTok dengan mesej: "Kita berjumpa setiap hari sebagai persediaan untuk membunuh BBM. Bersedia".

Zamora berkata pejabatnya merujuk isu itu kepada polis dan NBI serta meminta TikTok menyimpan data berkaitan akaun berkenaan sementara pihak berkuasa menyiasat.

Ketua Kakitangan Marcos, Vic Rodriguez, memuji usaha Kementerian Keadilan kerana bertindak pantas bagi menyiasat ugutan terbuka bagi mencederakan dan membunuh calon presiden, Bongbong Marcos.

"Walaupun cubaan bunuh ini membimbangkan, kami tidak gentar dengan ugutan seperti ini," katanya dan satu kenyataan.

Selain Marcos, mereka yang turut mengintai jawatan presiden termasuk bekas juara tinju dunia, Manny Pacquiao; Naib Presiden, Leni Robredo dan Datuk Bandar Manila, Francisco Domagoso.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 7:00 PM