LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai perkahwinan lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang tular di media sosial.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai perkahwinan lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang tular di media sosial.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


“PERKAHWINAN dengan kanak-kanak di bawah umur sepatutnya mendapat kebenaran Mahkamah Syariah dan ibu bapa.

“Walaupun perkahwinan itu berlangsung di negara jiran, pihak lelaki dan wanita perlu memohon kebenaran mahkamah,” kata Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad.

Beliau berkata, undang-undang negara ini hanya membenarkan wanita berusia 18 tahun ke atas untuk berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.

Katanya, namun jika mendapat kebenaran Mahkamah Syariah, wanita yang berusia 18 tahun ke bawah boleh berkahwin kerana undang-undang Islam membenarkan mereka berkahwin.

“Perkahwinan kanak-kanak bawah umur perlu berwali bapa dan mendapat kebenaran ibu bapa.

“Perkahwinan itu tidak boleh berwali hakim sebagai tanda ibu bapa bersetuju dengan perkahwinan mereka terutama kanak-kanak.

“Jika mereka mahu mendaftar perkahwinan di negara ini, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan denda sebanyak RM1,000,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Beliau menasihatkan kepada orang ramai yang mahu berkahwin dengan perempuan bawah umur supaya memohon kebenaran mahkamah dan perkahwinan itu berlangsung di negara ini bagi mengelakkan mereka didenda.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata perkahwinan antara lelaki berkenaan dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu masih dalam siasatan pihaknya.

Katanya, perkahwinan terbabit sepatutnya perlu mendapat kebenaran ibu bapa dan Mahkamah Syariah kerana membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Berita berkaitan

'Maduku budak 11 tahun'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 2:30 PM