INDONESIA antara 10 negara di dunia dengan jumlah pengantin kanak-kanak tertinggi. FOTO hiasan
INDONESIA antara 10 negara di dunia dengan jumlah pengantin kanak-kanak tertinggi. FOTO hiasan
Reuters

JAKARTA: Parlimen Indonesia hari ini, menyemak semula undang-undang perkahwinan negara itu untuk menaikkan had umur berkahwin bagi wanita kepada 19 tahun, langkah yang dipersetujui ramai bagi mengekang perkahwinan kanak-kanak.

Indonesia antara 10 negara di dunia dengan jumlah pengantin kanak-kanak tertinggi, menurut kempen kumpulan Girls Not Brides.

Agensi Statistik Indonesia dan Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 2016 melaporkan, satu daripada empat gadis di Indonesia berkahwin sebelum mencecah umur 18 tahun.

“Masyarakat masih menggalakkan anak perempuan untuk berkahwin semasa remaja, jika tidak, mereka dianggap sebagai anak dara tua,” kata Masruchah dari Suruhanjaya Kebangsaan Keganasan Terhadap Wanita.

Masruchah berkata, suruhanjaya itu berharap umur 21 dijadikan had umur minima perkahwinan bagi lelaki dan wanita kerana kedua-duanya sudah matang dari segi memulakan kekeluargaan dan kestabilan ekonomi.

Indonesia sebelum ini membenarkan gadis berumur 16 tahun atau lebih muda tanpa umur minima untuk berkahwin dengan kebenaran ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:48 PM