JURUCAKAP Taliban, Zabhiullah Mujahid ketika mengumumkan barisan pemimpin kerajaan, pada sidang media di Kabul. FOTO EPA
JURUCAKAP Taliban, Zabhiullah Mujahid ketika mengumumkan barisan pemimpin kerajaan, pada sidang media di Kabul. FOTO EPA
AFP

Kabul: Taliban mengumumkan pemimpin veterannya, Mullah Mohammad Hassan Akhund sebagai ketua kerajaan baharu, pada Selasa.

Berasal daripada Kandahar yang menjadi pusat gerakan Taliban, Akhund pernah berkhidmat sebagai gabenor wilayah utama itu ketika pemerintahan kumpulan itu pada 1990-an.

Beliau dikatakan individu rapat kepada pengasas bersama Taliban, pernah memegang jawatan sebagai timbalan menteri luar dan berada dalam senarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Taliban turut mengumumkan beberapa pemimpin tertinggi mereka ke jawatan utama.

Ketua jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid dalam sidang akhbar turut memaklumkan pengasas bersama Taliban iaitu Abdul Ghani Baradar sebagai satu daripada dua timbalan pemimpin kepada Mohammad Hassan.

Seorang lagi timbalan adalah Abdul Salam Hanafi, ahli di pejabat politik kumpulan berkenaan di Doha, Qatar.

Kepemimpinan Taliban selalu dikaitkan dengan kerahsiaan, sama ketika mereka memerintah Afghanistan dari 1996 hingga 2001.

Selain itu, mereka juga menamakan anak kepada pengasas Taliban merangkap bekas pemimpin tertingginya, Allahyarham Mullah Omar, iaitu Mullah Yaqub dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Ketua rangkaian Haqqani yang digeruni, Sirajuddin Haqqani dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

Perunding Taliban yang berpangkalan di Doha, Amir Khan Muttaqi yang juga anggota kabinet rejim pertama dinamakan sebagai Menteri Luar.

Secara keseluruhan, 19 kementerian, tujuh timbalan menteri dan seorang ketua tentera diumumkan.

Taliban yang kembali mengambil tampuk pemerintahan menjanjikan pemerintahan 'inklusif' yang mewakili susunan etnik Afghanistan yang kompleks - walaupun wanita tidak mungkin dimasukkan ke peringkat teratas.

Ketika mereka beralih dari imej kumpulan pemberontak ke pemerintahan berkuasa, Taliban mempunyai serangkaian masalah besar yang harus ditangani, termasuk krisis kewangan dan kemanusiaan yang meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 8:54 AM