Kabul: Taliban semalam mencemuh misi NATO diketuai Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan sebagai satu ‘kekejaman dan tidak bertamadun yang mengakibatkan pertumpahan darah.

Kumpulan brkenaan mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Inggeris itu sehari selepas NATO menutup misi perangnya dalam satu majlis sederhana di Kabul yang diadakan secara rahsia untuk mengelak serangan.

“Kami menganggap langkah mereka ini jelas menunjukkan kekalahan serta kekecewaan mereka.

“Amerika Syarikat dan negara yang bersekongkol dengannya menceroboh negara ini dan semua organisasi antarabangsa yang angkuh nyata kalah dalam perang mereka terhadap kami,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, kumpulan itu berazam untuk terus ‘memperjuangkan penubuhan negara Islam sepenuhnya dengan menghapuskan pasukan tentera penceroboh.’

Taliban yang memerintah Afghanistan dari 1996 hingga 2001 melancarkan pemberontakan terhadap NATO dan tentera kerajaan selama 13 tahun.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kematian awam direkodkan paling tinggi tahun ini apabila 10,000 orang awam terbunuh atau cedera – 75 peratusnya akibat serangan Taliban.

Bermula 1 Januari ini, Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) akan digantikan dengan misi ‘latihan dan sokongan.’

Kira-kira 12,500 tentera NATO akan terus berada di Afghanistan.

Presiden Ashraf Ghani pernah menyuarakan dia bersikap terbuka untuk berbincang dengan Taliban bagi mewujudkan keamanan di negara itu,

Bagaimanapun, kumpulan itu memilih untuk meneruskan jihad selagi ada orang asing berpakaian tentera di negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:03 AM