Suspek dan dadah yang dirampas Polis Dubai di sebuah gudang. Foto AFP
Suspek dan dadah yang dirampas Polis Dubai di sebuah gudang. Foto AFP
AFP

Dubai: Pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kelmarin, merampas setengah tan kokain dianggarkan bernilai 136 juta dolar Amerika Syarikat (AS) (RM568.28 juta), antara rampasan terbesar dadah di negara teluk itu.

Menurut polis Dubai, pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 500 kilogram dadah mampat ke negara itu.

"Pasukan narkotik menganggarkan dadah itu bernilai lebih 500 juta dirham yang disembunyikan dalam kontena kargo," menurut polis.

UAE yang terdiri daripada tujuh wilayah emiriah termasuk Dubai, mempunyai dasar toleransi sifar terhadap pemilikan dadah.

Menurut polis, mereka menggagalkan cubaan penyeludupan selepas menerima maklumat mengenai kontena kargo yang membawa barangan seludup melalui pelabuhan.

"Dalam operasi yang dinamakan 'Scorpion', seorang suspek yang berasal dari Asia Barat ditahan dan kita mengesyakinya dia bertindak sebagai orang tengah sindiket dadah antarabangsa.

"Ketika kontena itu tiba, suspek mahu memindahkan dadah itu ke emiriah lain dan menyimpannya di sebuah gudang sebelum dijual," kata Pengarah Jabatan Anti Narkotik, Eid Mohammed Thani Hareb.

Beliau berkata, ketika serbuan, suspek ditahan ketika melakukan pemindahan di gudang terbabit.

Penyeludup dadah kebiasaannya berdepan hukuman mati di UAE tetapi hukuman itu jarang dilaksanakan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 3:03 PM