ANTARA kawasan dilanda banjir kilat di Muscat, Oman. FOTO EPA
ANTARA kawasan dilanda banjir kilat di Muscat, Oman. FOTO EPA
AFP

Muscat: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh di Oman dan Iran selepas Taufan Shaheen melanda kawasan persisiran pantai di negara berkenaan.

Di Oman, dua maut dalam kejadian tanah runtuh, dan seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat banjir kilat.

Pasukan penyelamat mengeluarkan dua mayat pekerja berketurunan Asia dari rumah mereka yang terbabit kejadian tanah runtuh di kawasan perindustrian di wilayah Muscat.

Seorang kanak-kanak maut dan seorang individu masih hilang dalam banjir kilat di ibu negara Oman itu, menurut pihak berkuasa.

Penerbangan terpaksa dibatal atau ditangguhkan kerana kelajuan angin mencecah 120 kilometer sejam di kawasan persisiran pantai utara Oman.

Status Shaheen kini diturunkan kepada ribut tropika, kata pihak berkuasa negara itu.

Sementara di Iran, enam terbunuh di pelabuhan Chabahar, di wilayah tenggara Sistan-Baluchestan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 8:49 AM