MUELLER menunjukkan isyarat bagus ketika sesi latihan di Muscat menjelang aksi persahabatan Jerman dan Oman. FOTO AFP
MUELLER menunjukkan isyarat bagus ketika sesi latihan di Muscat menjelang aksi persahabatan Jerman dan Oman. FOTO AFP
Reuters

Muscat: Tonggak pertahanan Jerman, Antonio Ruediger dan pemain tengah menyerang, Thomas Mueller akan cergas untuk perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Jepun, minggu depan, kata jurulatih, Hansi Flick.

Kedua-dia pemain itu cedera ketika Jerman bersiap menghadapi perlawanan pembukaan Piala Dunia dan tidak berlatih bersama skuad di Oman, semalam.

Mereka turut terlepas perlawanan pemanas badan terakhir menentang Oman, hari ini.

"Thomas Mueller kini masih direhatkan dan berlatih dengan baik di Munich dan akan meneruskannya di sini," kata Flick pada sidang media.

"Kami perlukan banyak kualiti di posisi berkenaan jika mahu berjaya. Saya jangka Thomas, sama seperti Antonio Ruediger, akan mula berlatih bersama pasukan sebelum perlawanan dengan Jepun."

Pemain tengah sedang menyerlah, Mario Goetze turut tidak berlatih kerana berehat selepas musim yang sibuk bersama kelabnya, Eintracht Frankfurt.

"Proses pemulihan sangat penting. Kami akan lihat keadaan Mario esok. Kakinya bermain terlalu banyak perlawanan musim ini, jadi kami perlu berhati-hati untuk menangani situasi ini," kata Flick.

Jerman yang mahu menebus keaiban tersingkir di peringkat kumpulan di Piala Dunia 2018 di Rusia akan menentang Jepun pada 23 November.

Mereka akan berdepan Sepanyol, empat hari kemudian sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Costa Rica pada 1 Disember.

Flick tidak mengharapkan anak buahnya mencapai prestasi kemuncak pada aksi persahabatan hari ini dan mungkin merehatkan ramai pemain.

"Kami akan lihat siapa yang perlukan rehat, siapa akan bermain 45 minit," katanya.

"Bagi kami, ia berkaitan memastikan semua pemain mencapai tahap sama bagi persediaan menentang Jepun. Itu perancangan kami."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 11:22 AM