ORANG ramai mendapatkan kit ujian antigen Covid-19 yang diedarkan secara percuma oleh kerajaan di farmasi di sebuah farmasi di Bangkok. FOTO EPA
ORANG ramai mendapatkan kit ujian antigen Covid-19 yang diedarkan secara percuma oleh kerajaan di farmasi di sebuah farmasi di Bangkok. FOTO EPA
BERNAMA

Bangkok: Pembukaan semula bandar raya Bangkok kepada pelancong lengkap vaksin Covid-19 yang sepatutnya bermula 1 Oktober, ditunda kepada 15 Oktober kerana belum mencapai sasaran kadar vaksinasi.

Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn berkata, setakat ini, hanya kira-kira 37 peratus penduduk Bangkok lengkap dua dos vaksin Covid-19, sedangkan sasaran ditetapkan adalah 70 peratus.

"Sebanyak 33 peratus lagi penduduk bandar raya ini dijadualkan menerima dos kedua vaksin AstraZeneca selepas selang masa antara lapan dan 12 minggu," katanya.

Keputusan penangguhan itu dibuat selepas Phiphat dan Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang mengadakan perbincangan berhubung pembukaan semula Bangkok dan empat wilayah lain - Chonburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan dan Chiang Mai.

Memandangkan ramai pelancong memilih mengunjungi Bangkok sebelum ke wilayah lain, Phiphat berkata, kementerian akan melancarkan program perintis membolehkan pelancong tinggal di bandar raya itu selama tujuh hari sebelum melakukan perjalanan ke lapan wilayah lain iaitu Pattaya, Chiang Mai, Hua Hin, Cha-am, Phuket, Koh Samui, Krabi dan Phang Nga.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Siriraj Prof Dr Prasit Watanapa mencadangkan pembukaan semula Bangkok pada 1 November kerana kadar vaksinasi Covid-19 masih belum mencapai 'tahap selamat'.

"Kerajaan perlu menunggu sebulan lagi untuk memastikan negara ini sedia untuk dibuka semula kepada pelancong.

"Kita sudah belajar daripada program Phuket Sandbox bahawa orang yang sudah lengkap divaksinasi masih boleh dijangkiti dan menyebarkan penyakit ini. Saya juga syorkan supaya mengekalkan peraturan kuarantin buat sementara waktu," katanya.

Tambah beliau tarikh 1 Oktober, adalah 'terlalu cepat' untuk Thailand membuka semula pintu kepada pelancong asing memandangkan hanya 38 peratus penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala hanya 18 peratus lengkap dua dos.

Jumlah keseluruhan kes di negara ini semalam adalah sebanyak 1,434, 237 dan korban seramai 14,953.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 8:31 AM