FOTO HIASAN. FOTO fail AFP
FOTO HIASAN. FOTO fail AFP
Agensi

New Delhi: Belum reda penularan pandemik Covid-19 di India, pihak berkuasa di selatan India, Kerala kini sedaya upaya mengekang penularan wabak virus Nipah.

CBS News melaporkan, virus itu bagaimanapun tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Covid-19. sebaliknya mempunyai potensi menyebabkan jumlah kematian sangat tinggi.

Minggu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dari Kerala maut akibat virus Nipah menyebabkan pihak berkuasa India kini berusaha mengekang penularan wabak itu.

Dilaporkan, jangkitan kes baharu juga disahkan.

Kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital seminggu yang lalu akibat demam dengan suhu tinggi dan meninggal dunia, awal pagi Ahad lalu.

Ketika keadaannya makin teruk, doktor mengesyaki terdapat radang pada otaknya (ensefalitis), sampel darahnya dihantar ke Institut Virologi Nasional dan ujian mengesahkan jangkitan Nipah.

Pihak berkuasa pemerintah kini meningkatkan upaya mengesan kontak rapat mangsa, melakukan kuarantin dan saringan orang yang mungkin bersentuhan dengan kanak-kanak malang itu.

Menteri Kesihatan Kerala, Veena George berkata, 188 orang yang mempunyai kontak rapat dengan kanak-kanak itu sudah dikenal pasti pada Isnin lalu.

Daripada jumlah itu, 20 dianggap sebagai kontak rapat utama berisiko tinggi terutamanya ahli keluarganya yang semuanya ditahan di bawah kuarantin ketat atau dimasukkan ke hospital.

Dua pekerja kesihatan yang bersentuhan dengan mangsa sudah menunjukkan gejala jangkitan Nipah pada Isnin.

Mereka dimasukkan ke hospital dan sampel darah mereka diambil untuk ujian.

Pihak berkuasa menutup kawasan sekitar dua kilometer dari rumah mangsa dan ujian saringan bagi mengesan mereka bergejala sedang dilakukan di semua daerah bersebelahan negeri Kerala.

Negara jiran, Tamil Nadu juga berjaga-jaga untuk kes disyaki demam panas.

Ini adalah kali kedua dalam tiga tahun wabak virus Nipah dilaporkan di Kerala yang juga mengalami jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Negeri ini melaporkan sekitar 68 peratus daripada 40,000 kes baharu di India setiap hari.

Seperti koronavirus, virus Nipah disebarkan dari haiwan ke manusia.

Penularan biasanya berlaku apabila manusia bersentuhan secara langsung dengan haiwan atau melalui pengambilan makanan yang tercemar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 9:04 AM