SUMBER grafik Flickr
SUMBER grafik Flickr
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Kanak-kanak lelaki enam tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) selepas disyaki dijangkiti Japanese Encephalitis (JE).

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Abdul Rahim Abdullah, berkata kes kanak-kanak itu adalah yang ketiga dilaporkan tahun ini.

Katanya, sebelum ini dua kanak-kanak dari Kuala Pilah dan Jelebu disahkan menghidap JE namun tiada kematian.

Menurutnya, dalam kes terbaru, mangsa yang menetap di Kuala Pilah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), pada 18 Mei, sebelum dipindahkan ke HTJ, pada 20 Mei.

"Mangsa dirujuk ke HTJ selepas pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai simptom jangkitan JE dan keadaannya bertambah kritikal.

"Pada awalnya mangsa disyaki dijangkiti virus Nipah namun hasil ujian darah dan siasatan lanjut menunjukkan tiada kaitan dengan virus berkenaan.

“Bagaimanapun, kita masih dalam siasatan bagaimana wabak itu boleh berlaku," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 5:40 PM