AMRULLAH, gambar fail. FOTO AFP
AMRULLAH, gambar fail. FOTO AFP
Agensi

London: Timbalan Presiden Pertama Afghanistan Amrullah Saleh yang digulingkan Taliban dalam ciapannya di Twitter, semalam, berikrar untuk menentang pejuang kumpulan itu dan mengumumkan dirinya sebagai Presiden sementara negara berkenaan.

The Sun melaporkan, Amrullah menegaskan, perang belum berakhir dan menggesa penyokongnya untuk bergabung menentang Taliban.

Kenyataan Amrullah itu keluar selepas bekas Presiden Afghanistan Ashraf Ghani melarikan diri dari negara itu ke lokasi yang tidak diketahui ketika Taliban mula memasuki Kabul dan mengambil tampuk kekuasaan negara itu.

Semalam, Amrullah dalam ciapan di Twitter berkata, mengikut perlembagaan negara itu, "Jika (presiden) tiada, melarikan diri, meletak jawatan atau meninggal dunia, Timbalan Presiden Pertama akan menjadi Presiden sementara."

"Saya ketika ini masih dalam negara (Afghanistan) dan Presiden sementara yang sah," ciapnya lagi.

Amrullah dilantik sebagai Timbalan Presiden Pertama Afghanistan pada Mac tahun lalu, manakala Sarwar Danish sebagai Timbalan Presiden Kedua.

Newsweek melaporkan, Amrullah mendakwa sia-sia 'berdebat' dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengenai pergolakan di negara itu dan mengatakan rakyat Afghanistan perlu membuktikan bahawa negara mereka bukan Vietnam.

Beliau berkata, tidak seperti tanggapan AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), rakyat Afghanistan tidak akan kehilangan harapan pada masa depan mereka.

"Kaveat (notis rasmi) tidak berguna sudah selesai," ciapnya di Twitter sambil menyeru rakyat Afghanistan bersatu menentang

Taliban.

"Saya tidak akan mengecewakan berjuta-juta penduduk (Afghanistan) yang menyebelahi saya. Saya tidak akan pernah berada di bawah satu bumbung dengan Taliban. Tidak," katanya lagi dalam satu ciapan di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 3:00 PM