TWITTER. FOTO AFP
TWITTER. FOTO AFP
Agensi

Kabul: Taliban sudah mula menggunakan ciri pengesahan berbayar Twitter, bermakna beberapa kini mempunyai tanda biru (blue-tick) pada akaun mereka, lapor BBC.

Bagaimanapun, dalam satu laporan susulan, BBC melaporkan tanda pengesahan itu ditarik semula selepas dibantah oleh ramai pihak.

Sebelum ini, tanda biru yang menunjukkan 'akaun aktif, ketara dan sahih untuk kepentingan awam' disahkan oleh Twitter, dan tidak boleh dibeli.

Tetapi kini, pengguna boleh membelinya melalui perkhidmatan Twitter Blue baharu.

Perkhidmatan Twitter Blue sudah diperkenalkan dan dilancarkan pada Disember tahun lalu.

Sekurang-kurangnya dua pegawai Taliban dan empat penyokong terkemuka di Afghanistan menggunakan tanda pengesahan itu.

Akaun milik Ketua Jabatan Taliban Untuk Akses Kepada Maklumat, Hedayatullah Hedayat, juga sudah mempunyai ciri tanda pengesahan itu.

Akaunnya mempunyai 187,000 pengikut dan dia kerap menyiarkan maklumat berkaitan pentadbiran Taliban.

Beliau sudah menggunakan tanda biru berbayarnya bulan lalu, menurut media tempatan.

Abdul Haq Hammad, Ketua Pemantau Media di Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Afghanistan, turut mempunyai tanda biru pada akaunnya yang mempunyai 170,000 pengikut.

Penyokong Taliban terkenal sudah memperoleh tanda biru juga.

Muhammad Jalal, yang sebelum ini dikenal pasti sebagai pegawai Taliban, memuji pemilik baharu Twitter pada Isnin, mengisytiharkan bahawa Elon Musk "menjadikan Twitter hebat semula".

Selepas Taliban kembali berkuasa di Kabul pada Ogos 2021, kumpulan itu mengambil alih akaun disahkan yang dikendalikan oleh pentadbiran terdahulu, termasuk Lembaga Kriket Afghanistan. Akaun badan sukan itu kini mempunyai tanda emas (gold-tick).

Di bawah dasar baharu Twitter, tanda semak emas menunjukkan perniagaan, manakala yang berwarna kelabu adalah untuk pengguna lain, seperti pihak berkuasa yang mentadbir.

Ciri berbayar termasuk tanda semak biru, keupayaan menyunting ciapan, memuat naik video berkualiti tinggi dan paparan mod pembaca.

Pegawai dan penyokong Taliban adalah pengguna Twitter yang prolifik, menggunakan platform itu untuk menyebarkan mesej utama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 10:48 AM