AFP

Kabul: Taliban yang kembali menguasai tampuk pemerintahan di Afghanistan memberi jaminan tidak akan membalas dendam terhadap 'lawan' dan penentang mereka.

Pengumuman itu dibuat selepas kepulangan pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar ke Afghanistan yang digulingkan Amerika Syarikat (AS) hampir 20 tahun lalu.

Di Kabul, kedai tetap dibuka dan Taliban memberitahu kakitangan kerajaan untuk kembali bekerja, namun penduduk masih berhati-hati, manakala beberapa wanita dilihat berada di jalanan.

Puluhan ribu penduduk Afghanistan dilaporkan berusaha keluar dari negara itu untuk menyelamatkan diri daripada pemerintahan kumpulan pejuang itu.

Begitu pun, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, rejim baharu Taliban kini berbeza daripada rejim zaman 1996-2001, yang terkenal melaksanakan hukuman rejam dan melarang wanita bekerja dalam persekitaran bersama lelaki.

"Sekiranya pertanyaan itu didasarkan pada ideologi, dan kepercayaan, tidak ada perbezaan ... tetapi jika kita melihatnya berdasarkan pengalaman, kematangan, dan wawasan, ada banyak perbezaan," kata Zabihullah kepada wartawan, semalam.

"Semua yang menentang akan diampuni dari 'A hingga Z'," katanya, "Kami tidak akan membalas dendam."

Pengawal Taliban berkawal di jalan di Kunduz, Afghanistan. Foto AFP
Pengawal Taliban berkawal di jalan di Kunduz, Afghanistan. Foto AFP

Zabihullah berkata, kerajaan akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat ini, tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut, hanya mengatakan pihaknya akan membabitkan semua pihak dalam penubuhan kerajaan itu.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk menbenarkan wanita kembali bekerja, namun tidak memperincikannya dengan lanjut.

Jurucakap kumpulan itu di Doha, Suhail Shaheen, memberitahu Sky News Britain yang wanita tidak akan disyaratkan memakai burqa yang menutup seluruh wajah, tetapi tidak menjelaskan pakaian dibenarkan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Luar AS, Ned Price berkata, negara itu meminta Taliban berpegang kepada janji itu serta menghormati hak warganegara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 4:15 PM
Zabihullah (kiri) ketika sidang media di Kabul. FOTO AFP
Zabihullah (kiri) ketika sidang media di Kabul. FOTO AFP