AFP

Kabul: Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani dilaporkan sudah meninggalkan negara berkenaan semalam selepas beliau sendiri mengakui 'Taliban sudah menang' ketika kumpulan militan itu memasuki Kabul.

Ashraf dilaporkan melarikan diri sebelum Taliban mula memasuki bandar Kabul dan menawan istana presiden.

AFP melaporkan, kumpulan militan itu didakwa berjaya menawan seluruh Afghanistan dalam tempoh hanya 10 hari.

"Taliban sudah memenangi peperangan ini dan sekarang, mereka bertanggungjawab atas maruah, kedaulatan, harta benda dan perlindungan negara ini.

"Mereka (Taliban) kini berdepan dengan ujian baharu. Sama ada mereka dapat memelihara nama serta kedaulatan Afghanistan atau mereka lebih mengutamakan kumpulan berbanding rakyat," kata Ashraf dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Facebook.

Ashraf juga memaklumkan, dia terpaksa melarikan diri kerana tidak mahu berlaku lebih banyak pertumpahan darah.

Biarpun tidak memaklumkan lokasi dia berada, media tempatan melaporkan Ashraf kini di Tajikistan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 10:00 AM