PENDUDUK membersihkan serpihan kaca dari rumah mereka yang terletak berhampiran restoran Perancis yang diserang di Kabul.
PENDUDUK membersihkan serpihan kaca dari rumah mereka yang terletak berhampiran restoran Perancis yang diserang di Kabul.

Kabul: Seorang pengebom berani mati Taliban merempuh kereta dipandunya yang berisi bahan letupan ke dalam sebuah restoran Perancis yang popular dalam kalangan warga asing di Kabul pada hari pertama Tahun Baru, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kabul Fraidoon Obaidi berkata, 18 lain cedera dalam serangan di Le Jardin itu.

Emergency Hospital di Kabul berkata di akaun Twitternya, bahawa seorang yang maut termasuk budak lelaki berusia 12 tahun.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengumumkan di Twitter bahawa beberapa orang asing terbunuh dalam serangan itu.

Menurut polis, Taliban gagal memasuki pekarangan restoran itu selepas meletupkan pintu masuk utamanya. Seorang suspek sudah ditahan.

Le Jardin mempunyai kawalan keselamatan lebih tinggi berbanding restoran lain di Kabul yang dilanggani orang asing.

Pada Januari 2014, 21 orang termasuk 13 rakyat asing terbunuh dalam serangan militan di sebuah restoran Lubnan di Kabul.

Sementara itu, kejadian Jumaat lalu itu dikutuk Presiden Ashraf Ghani.

“Perbuatan membunuh orang awam yang tidak berdosa adalah kesalahan yang tidak boleh dimaafkan, malah tidak diterima mana-mana agama sekalipun. Mereka yang membunuh rakyat Afghanistan yang tidak berdosa tidak layak merunding keamanan,” katanya.

Serangan itu berlaku beberapa hari selepas ketua tentera Pakistan, Jeneral Raheel Sharif melawat Kabul dalam usaha memulakan usaha rundingan dengan Taliban. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:11 AM