PENUMPANG melalui jalan yang dipenuhi air setelah hujan lebat di Dhaka. FOTO AFP
PENUMPANG melalui jalan yang dipenuhi air setelah hujan lebat di Dhaka. FOTO AFP
AFP

Dhaka: Ribuan pelarian Rohingya di sebuah pulau Bangladesh yang berdepan kemudahan pendidikan dan kesihatan tidak mencukupi bakal terdedah risiko lebih buruk pada musim tengkujuh bulan ini, demikian laporan Human Rights Watch (HRW) pada Isnin.

Kira-kira 18,800 pelarian dipindahkan dari wilayah Cox's Bazar ke pulau Bhashan Char yang mempunyai kedudukan rendah di Teluk Bengal.

Ia selepas Cox's Bazar semakin sesak dan tidak stabil selepas dipenuhi 850,000 pelarian yang melarikan diri dari Myanmar.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, 80,000 Rohingya lagi bakal dipindahkan ke pulau itu kelak.

Kerajaan Bangladesh menegaskan penempatan semula itu dilakukan secara sukarela selepas mendapati pulau itu bebas dari taufan dan kemudahannya jauh lebih baik berbanding kem perlindungan di Cox's Bazar.

Namun, hasil temuramah HRW bersama 167 pelarian mendedahkan mereka dipindahkan tanpa persetujuan penuh serta dihalang kembali ke daratan.

Laporan setebal 58 halaman muka surat itu menjelaskan pelarian itu kekurangan kemudahan pendidikan dan kesihatan untuk anak mereka.

Pada masa sama, mereka juga bimbang dengan ancaman musim tengkujuh yang berlaku mulai bulan ini yang memberikan risiko banjir dan angin kencang di pulau itu.

HRW mengakui Dhaka bermurah hati dalam memberikan perlindungan kepada Rohingya yang kebanyakannya melarikan diri dari Myanmar akibat kekejaman tentera pada 2017, namun hak mereka harus dilindungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 6:30 AM