JURURAWAT melakukan persediaan sebelum menyuntik vaksin Covid-19 yang dibangunkan Pfizer-BioNTech. FOTO AFP
JURURAWAT melakukan persediaan sebelum menyuntik vaksin Covid-19 yang dibangunkan Pfizer-BioNTech. FOTO AFP
Agensi

Washington: Enam individu meninggal dunia dalam fasa terakhir ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan rakan niaganya dari Jerman, BioNTech.

Media Australia, The New Daily, melaporkan perkara itu didedahkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) beberapa jam selepas United Kingdom (UK) menjadi negara pertama yang melaksanakan penggunaan vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, kadar kematian itu tidak membangkitkan isu keselamatan atau keberkesanan vaksin berkenaan memandangkan ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar yang sama.

Dalam laporan setebal 53 muka surat yang dikeluarkan pada Rabu itu, vaksin berkenaan didapati mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus dalam mencegah jangkitan Covid-19.

Menurut laporan sama, dua individu yang menerima vaksin itu ketika tempoh percubaan, meninggal dunia, manakala empat lagi meninggal dunia ketika peringkat plasebo.

Selain itu, ia menunjukkan bahawa vaksin berkenaan mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus, sekurang-kurangnya tujuh hari selepas individu menerima suntikan kedua.

Data juga menunjukkan bahawa vaksin itu berkesan pada tahap 52 peratus selepas dos pertama.

Laporan itu merumuskan keberkesanan data memenuhi jangkaan FDA bagi kebenaran kegunaan kecemasan.

Terkini

  • Vaksin Pfizer/BioNTech selamat - FDA

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 2:27 PM