KELAWAR mengejutkan penumpang dan kru pesawat.
KELAWAR mengejutkan penumpang dan kru pesawat.
Agensi

New Delhi: Pesawat Air India dalam penerbangan ke Amerika Syarikat (AS) terpaksa berpatah balik ke New Delhi, gara-gara seekor kelawar di dalam kabin.

Berdasarkan video tular, kelawar berkenaan terbang di dalam kabin dan mengejutkan kru serta penumpang pesawat.

Kejadian itu menyebabkan Boeing 777 yang baru 30 minit berlepas terpaksa berpatah balik.

Kapten pesawat membuat keputusan berpatah balik selepas memaklumkan kejadian kepada menara kawalan udara, lapor Business Today.

Pegawai Direktorat Penerbangan Awam (DGCA) memaklumkan agensi berita ANI, pihak berkuasa kecemasan lapangan terbang bersedia sebaik menerima maklumat berkenaan.

"Pesawat mendarat dengan selamat jam 3.55 pagi dan petugas hidupan liar dipanggil untuk menangkap kelawar itu.

"Selepas itu, pesawat diarahkan untuk tidak terbang semula," katanya.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indra Gandhi dan petugas hidupan liar dipanggil untuk membantu.

Proses sanitasi kabin juga dilakukan sebaik kelawar berkenaan dikeluarkan dari pesawat.

Pegawai kanan DGCA berkata, kelawar itu ditemui mati di kawasan kabin kelas perniagaan.

Jabatan Keselamatan Air India akan mengeluarkan laporan penuh kejadian itu selepas siasatan lengkap dijalankan.

Kelawar itu berkemungkinan masuk ke dalam kabin ketika kenderaan sajian melakukan penghantaran.

"Kemungkinan kelawar itu masuk ketika kenderaan sajian menghantar makanan," kata pegawai Air India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 6:32 AM