Anggota bomba menggunakan buih bagi memadam kebakaran.
Anggota bomba menggunakan buih bagi memadam kebakaran.
Enjin pesawat Boeing 777-300ER  SIA terbakar ketika mendarat cemas di Lapangan Terbang Changi pagi tadi.
Enjin pesawat Boeing 777-300ER SIA terbakar ketika mendarat cemas di Lapangan Terbang Changi pagi tadi.
AFP

Singapura: Enjin pesawat Boeing 777-300ER Singapore Airlines (SIA) yang membawa 222 penumpang dan 19 anak kapal terbakar ketika mendarat cemas di Lapangan Terbang Changi di sini, selepas berpatah balik dalam penerbangan ke Milan, Itali, pagi tadi.

Menurut kenyataan SIA, pesawat penerbangan SQ368 itu berpatah balik berikutan wujud amaran minyak enjin namun tiada kecederaan dalam kejadian itu.

“Enjin kanan pesawat terbakar sebaik pesawat mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 6.50 pagi,” kata kenyataan itu.

Anggota bomba memadamkan kebakaran pada enjin itu.

Penumpang dipindahkan ke terminal sebelum meneruskan penerbangan ke Milan menggunakan pesawat lain.

Seorang penumpang, Lee Bee Yee, memuat naik rakaman video kebakaran itu ke Facebook yang dirakam melalui tingkap pesawat.

“Saya baru terlepas daripada maut.

“Pesawat Singapore Airline kami mengalami kebocoran minyak selama tiga jam penerbangan dan terpaksa berpatah balik.

“Tiba di Lapangan Terbang Changi, ketika pesawat mendarat, enjin terbakar,” tulisnya.

Bagaimanapun, jurucakap SIA menyatakan pesawat itu terbang selama sejam 45 minit sebelum berpatah balik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 4:57 PM