HASSAN Rouhani. FOTO AFP/HO / Iranian Presidency
HASSAN Rouhani. FOTO AFP/HO / Iranian Presidency
AFP

Tehran: Presiden Iran, Hassan Rouhani memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang keempat jangkitan Covid-19 selepas beberapa kawasan mencatatkan peningkatan kes baharu.

"Ini adalah amaran untuk kita semua," katanya dalam satu siaran di televisyen.

Menurutnya, beberapa bandar di wilayah Khuzestan berada dalam zon 'merah' selepas beberapa minggu mencatatkan kes rendah.

"Ini bermakna, ia adalah permulaan ke arah gelombang keempat. Kita semua harus bersedia untuk mengekangnya," katanya.

Negara dengan lebih 80 juta penduduk itu merekodkan 59,000 kematian dan lebih 1.5 juta kes jangkitan akibat Covid-19.

Secara rasminya, Iran merekodkan kurang 7,000 kes jangkitan harian sejak penghujung Disember, namun jumlah berkenaan sudah melepasi angka terbabit sejak awal bulan ini.

Jumlah kematian harian pula kekal di bawah angka 100 sejak awal Januari, kadar terendah sejak Jun tahun lalu.

Semalam, Iran menerima 100,000 dos vaksin Sputnik V, lebih awal dari dijadualkan.

Ia berjaya mendapatkan dua juta dos vaksin keluaran Rusia itu.

Menteri Kesihatan, Saeed Namaki berkata, Iran juga akan menerima 4.2 juta vaksin keluaran AstraZeneca - Oxford University.

Malah, Iran juga sedang giat membangunkan vaksin Covid-19 sendiri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 8:58 PM