Penduduk di Serrana, Sao Paulo, beratur untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. FOTO AFP
Penduduk di Serrana, Sao Paulo, beratur untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. FOTO AFP
AFP

Rio De Janeiro: Angka kematian disebabkan pandemik Covid-19 di Brazil dikategorikan kedua tertinggi di dunia selain kes jangkitan pula melepasi angka 10 juta.

Negara itu sedang berdepan ancaman gelombang kedua yang membawa maut, selain masalah dengan program vaksinasi.

Brazil juga menjadi negara ketiga paling teruk terjejas selepas Amerika Syarikat (AS) dan India dengan lebih 51,900 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, menurut data rasmi.

Dalam tempoh sama, seramai 1,367 orang maut menjadikan jumlah keseluruhan adalah lebih 243,400 kes.

Brazil merekodkan 10,030,626 kes jangkitan di tengah-tengah kritikan yang semakin membuak-buak ke atas pentadbiran Presiden, Jair Bolsonaro mengenai cara beliau menangani wabak dan respons terhadap vaksinasi.

Hanya tiga peratus daripada keseluruhan penduduk berjumlah 212 juta sudah menerima dos pertama vaksin.

Kempen selama sebulan dengan CoronaVac China dan suntikan AstraZeneca, terpaksa dihentikan di beberapa bandar serta pekan kerana kekurangan bekalan. Masalah sedemikian turut dialami di Rio de Janeiro.

Menteri Kesihatan, Eduardo Pazuello berkata, Brazil akan menerima 230 juta dos pada hujung Julai depan.

Ia bagaimanapun bergantung kepada proses penghantaran dos dari luar negara serta kiriman bahan untuk dihasilkan sendiri di Brazil.

Katanya, Brazil juga mempunyai rancangan untuk mendapatkan 10 juta dos vaksin Russia, Sputnik V dan 20 juta vaksin dari India, Covaxin, namun belum memuktamadkan kontrak dengan kedua-dua negara terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 12:19 PM