ANTARA pusat vaksinasi secara drop-in di Hounslow, barat London. FOTO AFP
ANTARA pusat vaksinasi secara drop-in di Hounslow, barat London. FOTO AFP
AFP

London: United Kingdom (UK) merekodkan sifar kematian Covid-19 untuk pertama kali sejak Julai tahun lalu, meskipun terdapat peningkatan kes yang dikaitkan dengan varian Delta.

Menurut angka terbaharu, 127,782 individu di negara itu meninggal dunia dalam tempoh 28 hari selepas didapati positif sejak mulanya pandemik di UK - menjadikannya angka kematian tertinggi di negara Eropah.

Setakat ini, secara keseluruhan, UK merekodkan 4.49 juta kes Covid-19.

Angka sifar direkodkan pada Selasa selepas kerajaan mencatatkan satu kes kematian akibat Covid-19 di negara itu, sehari sebelumnya iaitu pada Isnin yang juga hari cuti umum.

Angka kematian Covid-19 lazimnya rendah pada hujung minggu dan cuti, berikutan laporan lamban (lag reporting).

Setiausaha Kesihatan Matt Hancock mengalu-alukan perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai 'khabar gembira', dan menyatakan program vaksinasi sejak Disember lalu, 'berkesan'.

Sejak beberapa bulan lalu, UK sudah mula membuka ekonominya.

Kerajaan menguatkuasakan sekatan pergerakan yang ketat pada Januari lalu ketika penularan gelombang kedua Covid-19 dan jangkitan disebabkan varian baharu.

UK menjadi antara negara pertama yang melaksanakan program vaksinasi berskala besar dengan lebih 25 juta orang atau hampir separuh daripada populasi orang dewasanya sudah menerima dua dos vaksin.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran negara itu mungkin berdepan gelombang ketiga penularan susulan varian Delta yang pertama kali dikesan di India.

Pada Selasa, UK merekodkan kira-kira 3,000 kes Covid-19 untuk tujuh hari berturut-turut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 9:22 AM