PETUGAS kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas warga emas sebelum menerima vaksin Sputnik V di pusat vaksinasi di Moscow. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas warga emas sebelum menerima vaksin Sputnik V di pusat vaksinasi di Moscow. FOTO AFP
AFP

Moscow: Pihak berkuasa kesihatan Rusia melaporkan peningkatan sehingga 75 peratus kes jangkitan harian Covid-19 di Moscow hari ini namun, kerajaan enggan melaksanakan perintah kawalan ketat untuk mengekang penularan virus.

Moscow kini menjadi pusat wabak dengan sekitar 2,000 kes baharu dilaporkan setiap hari.

Hari ini, angka jangkitan mencecah 3,215 berbanding 1,840 kes hari sebelumnya.

Peningkatan mendadak itu memaksa kerajaan Rusia mempercepat kempen vaksinasi yang dilihat sedikit ketinggalan.

Datuk Bandar, Sergei Sobyanin memberi amaran mengenai peningkatan angka jangkitan namun, sehingga kini belum mengumumkan sebarang langkah kawalan.

Kehidupan di Moscow mula kembali normal sejak Januari lalu selepas pihak berkuasa menamatkan peraturan di pejabat dan membenarkan bar serta restoran beroperasi sepanjang malam.

Rusia juga enggan melaksanakan sekatan pergerakan kedua seperti di kebanyakan negara Eropah bagi melindungi ekonomi.

Pihak berkuasa bergantung kepada tiga vaksin keluaran tempatan iaitu Sputnik V, EpiVacCorona dan CoviVac untuk mengekang pandemik namun, kempen vaksinasi dilihat bergerak perlahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tatiana Golikova berkata, sehingga kini 7.7 juta penduduk Rusia sudah menerima dua dos vaksin, manakala 12.1 juta sudah mendapatkan dos pertama.

Satu undian yang dilakukan menunjukkan kebanyakan warga Rusia skeptikal dengan vaksin Covid-19.

Rusia adalah negara kelima di dunia mencatatkan kes jangkitan tertinggi dengan hampir 4.8 juta kes dan 110,000 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 9:10 PM