Arab Saudi setakat ini melaporkan hampir 369,000 kes Covid-19 dan hampir 6,400 kematian, antara tertinggi dalam kalangan negara Arab Teluk. FOTO AFP
Arab Saudi setakat ini melaporkan hampir 369,000 kes Covid-19 dan hampir 6,400 kematian, antara tertinggi dalam kalangan negara Arab Teluk. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Arab Saudi memutuskan menutup pusat hiburan termasuk panggung wayang, menangguhkan perkhidmatan makan di restoran serta mengetatkan lagi sekatan berikutan peningkatan jangkitan Covid-19.

Kerajaan terbabit menangguhkan semua acara dan keraian termasuk majlis perkahwinan di dewan atau hotel selama 30 hari, kata kementerian dalam negeri dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Saudi.

Katanya, kerajaan juga menangguhkan semua aktiviti hiburan termasuk panggung wayang dan ruang permainan.

Pelanggan juga dilarang makan di semua restoran dan kafe selama 10 hari serta memberi amaran semua larangan itu mungkin dilanjutkan dari semasa ke semasa.

Kata kementerian itu, langkah bermula dari jam 10 malam hari ini bertujuan mencegah penularan gelombang kedua wabak itu.

Pengumuman berkenaan dibuat selepas Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah, memberi amaran pada Ahad lalu yang menyatakan sekatan baharu Covid-19 mungkin dikuatkuasakan jika warga dan penduduk tidak mematuhi larangan kesihatan.

Semalam, Arab Saudi menangguhkan kemasukan pengunjung dari 20 negara, bermula dengan beberapa negara jiran hingga ke Amerika Syarikat, dalam usaha untuk menghentikan peningkatan jangkitan.

Arab Saudi setakat ini melaporkan hampir 369,000 kes Covid-19 dan hampir 6,400 kematian, antara tertinggi dalam kalangan negara Arab Teluk.

Jangkitan harian turun di bawah 100 pada awal Januari, berbanding jumlah tertinggi pernah dicatatkan mencecah 5,000 pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, jangkitan harian baharu meningkat tiga kali ganda sejak itu, dengan 306 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan semalam.

Arab Saudi melancarkan kempen vaksinasi pada 17 Disember lalu selepas menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech.

Kementerian Kesihatan berkata, program terbabit berjalan dalam tiga fasa, bermula dengan golongan berusia lebih 65 tahun dan mereka yang menderita penyakit kronik atau yang berisiko tinggi dijangkiti.

Namun bulan lalu, kementerian terbabit menyatakan pihaknya terpaksa melewatkan pelaksanaannya berikutan kelewatan dalam penghantaran vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 7:39 PM