SOLAT Subuh pertama di Masjidil Haram tanpa penjarakan fizikal.
SOLAT Subuh pertama di Masjidil Haram tanpa penjarakan fizikal.
Agensi

Makkah: Solat subuh di Masjidil Haram di Makkah, semalam berlangsung dalam kapasiti penuh dan tanpa penjarakan fizikal selepas Arab Saudi melonggarkan sekatan Covid-19.

Setiausaha Agung Hal Ehwal Masjidil Haram, Dr Saad Mohamed Al-Muhaimid yang dilapor Arab News berkata, persediaan dibuat untuk pengoperasian penuh masjid itu dan dalam masa sama memastikan keselamatan jemaah terjamin.

Bagaimanapun, katanya, jemaah tetap perlu memakai pelitup muka ketika mengunjungi masjid suci itu dan mendaftar bagi umrah dan solat menerusi aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna.

Malam semalam, pekerja penyelenggaraan mula menanggalkan pelekat jarak fizikal di lantai masjid, sekali gus menandakan berakhirnya fasa solat dengan jarak antara satu ke dua meter antara jemaah berikutan pandemik Covid-19.

Bermula semalam, penjarakan fizikal bukan lagi mandatori dalam perhimpunan sosial atau di tempat awam di Arab Saudi termasuk dalam pengangkutan awam dan di restoran, panggung wayang serta pusat beli-belah.

Jumaat lalu, Kementerian Dalam Negeri (MOI) Arab Saudi memaklumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat terbuka, kecuali di beberapa tempat tertentu dan tertutup termasuk di kedua-dua masjid suci berkenaan.

"Pekerja dan pengunjung dua masjid suci tetap diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dalamnya, selain wajib berdaftar menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna," katanya.

Kementerian juga memberi kebenaran kepada sistem pengangkutan awam, restoran, panggung wayang dan dewan acara untuk beroperasi pada kapasiti penuh tanpa tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, hanya penerima dua dos vaksin yang dibenarkan memasuki premis berkenaan.

Kebenaran ini juga diberikan kepada golongan yang dikecualikan daripada mengambil vaksin atas faktor kesihatan dengan mereka diwajibkan memakai pelitup separuh muka.

Menurut kementerian itu lagi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka masih diwajibkan di tempat yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna.

Pemilik premis awam dan swasta pula wajib mengesahkan tahap vaksinasi pengunjung melalui aplikasi Tawakkalna sebelum mereka dibenarkan memasuki premis masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 6:30 AM