Pete Evans. FOTO AGENSI
Pete Evans. FOTO AGENSI
AFP

Sydney: Facebook menyekat akaun cef selebriti Australia dan ahli teori konspirasi, Pete Evans kerana berulang kali menyebarkan maklumat salah mengenai Covid-19.

Dengan lebih satu juta pengikut media sosial, Evans menjadi penyokong teori konspirasi yang berpengaruh berkaitan pandemik dan vaksin.

Facebook menjelaskan hari ini bahawa mereka tidak akan membenarkan sesiapa saja untuk menyampaikan maklumat salah mengenai Covid-19 yang boleh menyebabkan gangguan fizikal atau kepalsuan mengenai vaksin Covid-19.

"Kami memiliki peraturan jelas terhadap jenis kandungan ini dan kami sudah menghapuskan laman Facebook Cef Pete Evans kerana berulang kali melanggar peraturan ini," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun akaun Instagram milik cef berkenaan dengan 278,000 pengikut masih aktif, membolehkan Evans berkongsi catatan untuk mendorong penduduk Sydney menentang pegawai kesihatan awam dan menolak menjalani ujian virus itu.

Bandar terbesar di Australia itu kini sedang bergelut dengan kluster yang merekodkan lebih 100 kes sejak beberapa bulan dengan penularan rendah dalam masyarakat.

Evans mengatakan di Instagram pada Khamis bahawa dia gembira menjadi antara pemangkin perbualan mengenai kebebasan bersuara dan menggambarkan sains di sekitar wabak itu sebagai 'BS'.

Facebook sebelum ini menyekat beberapa akaun berprofil tinggi yang menjaja maklumat salah dan mengandungi ucapan kebencian, terutama yang dilakukan oleh individu pendukung konspirasi, Alex Jones dan tokoh kanan, Milo Yiannopoulos.

Di bawah pengawasan dan kritikan hebat bahawa platform ini merendahkan perdebatan awam, Facebook juga mengumumkan larangan ke atas akaun yang dikaitkan dengan kumpulan konspirasi QAnon.

Evans menyangkal ia sebagai pembohongan dan mengecam apa yang disebutnya sebagai propaganda berasaskan ketakutan.

"Pandemik itu adalah penipuan. Semudah itu," katanya kepada AFP awal tahun ini, tanpa mengemukakan bukti kukuh.

Evans terkenal mempromosikan idea diet saintifik pseudosains, sering dikaitkan dengan perusahaan komersialnya sendiri - seperti diet palaeolitik, sehingga mendapat jolokan 'Paleo' Pete.

Sebelum ini dia disingkir oleh beberapa syarikat dan buku-buku yang dihasilkan turut dikeluarkan dari rak selepas dia menyiarkan simbol Nazi di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 5:59 PM