DONALD Trump tiba di mahkamah di sini untuk menghadiri perbicaraan kesnya. FOTO AFP
DONALD Trump tiba di mahkamah di sini untuk menghadiri perbicaraan kesnya. FOTO AFP
AFP

New York: Seorang lelaki bertindak membakar dirinya di luar sebuah mahkamah di sini, semalam, ketika perbicaraan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Saksi berkata, mereka melihat lelaki itu menuang cecair ke atas kepala sebelum membakar dirinya.

Jabatan Polis New York mengenal pasti lelaki itu sebagai Max Azzarello, 37, dari Florida, dan lelaki itu tiba di New York, awal minggu ini.

Jabatan Bomba New York berkata, mereka bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan individu yang terbakar dan membawa mangsa dalam keadaan kritikal ke Pusat Perubatan Presbyterian-Weill Cornell di sini.

Polis pada Jumaat berkata, lelaki itu masih dalam keadaan kritikal dan sedang ditidurkan.

Pada taklimat itu, polis berkata, Azzarello berjalan ke taman, membuka beg yang mengandungi kertas dan menaburkannya sebelum membakar dirinya sendiri.

Dia jatuh ke atas penghadang polis, dan orang awam dan pegawai mahkamah berlari ke taman, menggunakan kot dan alat pemadam untuk cuba memadamkan api.

Empat pegawai yang bertindak pantas terhadap kebakaran mengalami kecederaan ringan.

"Kami menemukan keretanya di St Augustine, Florida, pada 13 April. Jadi, mana-mana antara 13 April dan hari ini (19 April), dia tiba di sini (New York).

"Kami bercakap dengan ahli keluarganya, mereka tidak menyedari bahawa dia berada di New York," kata seorang pegawai polis.

Polis juga mengesahkan bahawa Azzarello ada membuat hantaran di media sosial. Malah, kertas yang dilemparkan di taman itu menggambarkan seperti risalah jenis teori konspirasi.

Walaupun insiden itu berlaku berhampiran mahkamah tempat perbicaraan Trump berlangsung, pegawai berkata, Azzarello nampaknya tidak menyasarkan mana-mana orang atau kumpulan tertentu dan menambah bahawa dia seolah-olah seorang ahli teori konspirasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 10:35 AM