GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
AFP

Washington: Gelombang terbaru Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) berikutan ancaman varian Delta mencetuskan kemarahan penduduk negara itu yang sudah divaksin terhadap golongan belum mendapatkan imunisasi itu.

Mereka menyalahkan golongan masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 yang mengakibatkan penularan pandemik itu sehingga sekatan terpaksa dikenakan semula walaupun sebelum ini sudah dijanjikan untuk kembali hidup 'bebas' (normal).

"Mereka (yang enggan divaksin) itu seolah-olah tidak peduli mengenai orang lain. Mereka hanya mementingkan diri," kata petugas penjagaan kesihatan, Alethea Reed, 58, kepada AFP.

Pekerja sosial klinikal Anne Hamon, 64, turut meluahkan kekecewaan itu kerana dia dan pasangannya tergolong dalam golongan yang berisiko tinggi.

Dia turut kesal kerana tidak dapat meyakinkan abangnya sendiri untuk mengambil suntikan vaksin.

Minggu ini, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) menyarankan golongan yang menerima suntikan vaksin, kembali memakai pelitup muka di sebahagian besar kawasan merentasi AS.

Ia sekali gus menyaksikan sebilangan penduduk berang kerana menganggap kehidupan mereka terjejas akibat pilihan yang dibuat oleh orang lain.

Sebanyak 60.2 peratus penduduk dewasa di seluruh AS sudah menerima vaksinasi lengkap, setakat ini.

Ia jauh lebih rendah berbanding kadar 85 hingga 90 peratus perlu mendapatkan vaksin itu bagi mengekang penularan virus berkenaan, menurut pakar epidemiologi, walaupun dos terbabit sudah sedia dibekalkan sejak berbulan-bulan lalu.

Khamis lalu, Presiden Joe Biden mengumumkan jutaan kakitangan Persekutuan dikehendaki sama ada mendapatkan suntikan vaksin atau menjalani ujian saringan berkala serta memakai pelitup muka, iaitu langkah tegas sama diambil California dan New York.

Kesabaran dilihat jelas semakin menipis terhadap sikap mereka yang terus enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 atas pelbagai alasan, termasuk mendakwa ia berkait teori konspirasi.

"Kini, keadaan sudah beralih daripada memahami kepada tidak lagi mampu bersabar, dan daripada insentif kepada akibat," kata David Frum yang menghasilkan penulisan bertajuk 'Vaccinated America Has Had Enough' dalam penerbitan The Atlantic, kepada AFP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 11:21 AM