JENNIFER Crumbley memandang suaminya, James ketika prosiding kesnya di mahkamah di Oakland. FOTO USA Today Network/ Reuters
JENNIFER Crumbley memandang suaminya, James ketika prosiding kesnya di mahkamah di Oakland. FOTO USA Today Network/ Reuters
AFP

Washington: Ibu bapa kepada penyerang remaja yang melakukan tembakan rambang sehingga menyebabkan kematian di sebuah sekolah di Michigan, Amerika Syarikat (AS), pada 2021, dijatuhi hukuman penjara 10 hingga 15 tahun atas tuduhan gagal mengawasi anak dengan baik.

Ia sekali gus menjadi kes mahkamah pertama seumpamanya dilaporkan di AS.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Kaunti Oakland Cheryl Matthews.

Jennifer Crumbley dan suaminya, James - yang membelikan pistol sebagai hadiah Krismas kepada anaknya - adalah ibu bapa kepada penembak yang disabitkan dengan pembunuhan beramai-ramai itu.

Anak lelaki mereka, Ethan yang kini berusia 17 tahun sedang menjalani hukuman penjara seumur hayat kerana melakukan tembakan pada 30 November 2021 dan menyebabkan empat pelajar maut dan tujuh cedera di Sekolah Tinggi Oxford, 70 kilometer di utara Detroit.

Hakim pada prosiding, menegur James kerana membenarkan 'akses tanpa batasan' kepada senjata dan peluru di rumah.

Nicole Beausoleil, ibu kepada Madisyn Baldwin, 17, salah seorang mangsa kejadian tembakan ketika bercakap kepada suami isteri itu di dalam mahkamah sebelum keputusan dibacakan berkata: "Bukan sahaja anak lelaki kamu membunuh anak perempuan saya, tetapi kamu berdua juga melakukannya."

"Darah anak-anak kami ada di tangan anda," kata Craig Shilling, bapa kepada Justin Shilling, 17, iaitu seorang lagi mangsa kejadian.

Steve St Juliana, bapa kepada seorang lagi mangsa, Hana St Juliana, 14, pula berkata, pembunuhan itu "memusnahkan sebahagian besar jiwa saya."

"Saya selamanya dinafikan peluang untuk memeluk dia atau bakal cucu saya di masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 11:31 AM