JULIANA Evans. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
JULIANA Evans. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Ramlah Zainal


Selepas lima bulan bergelar isteri, pelakon dan pengacara berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Juliana Evans, 27, mengakui dia dan suami masih dalam fasa berbulan madu.

Menurut isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, 29, inilah masanya mereka mengeratkan hubungan suami isteri dengan bercuti ke luar negara.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia. Setiap kali ada kelapangan, kami memang suka bercuti terutama ke pantai dan pulau peranginan.

“Antaranya kami merancang ke Maldives, Hawaii, Bora Bora dan Amsterdam tahun depan.

“Saya juga seorang yang sangat berdikari sejak dulu dan apabila bercuti berdua banyak yang kami belajar mengenai diri masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama mini Mata Cinta di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Juliana berkata, dia juga banyak belajar menjadi seorang isteri yang lebih baik sejak berumah tangga.

“Sebagai isteri, saya banyak belajar mengenai pengorbanan, tolak ansur dan paling penting saling mempercayai.

“Selain itu, suami juga tidak cerewet soal makan dan saya juga belajar memasak. Antara sajian kegemarannya ialah kari ayam dan pencuci mulut pavlova,” katanya.

Ditanya mengenai anak pula, Juliana berkata, dia menangguh dulu perancangan untuk membina keluarga buat sementara waktu.

“Buat masa ini, saya ingin fokus pada karier, perniagaan dan melancong dulu sebelum memiliki anak.

“Namun, jika ada rezeki untuk dapat anak dalam waktu terdekat ini, kami tidak akan menolaknya,” katanya.

Suami tidak letak syarat

Kali terakhir Juliana berlakon ialah menerusi filem Pulang arahan Kabir Bhatia, tahun lalu.

Menurut Juliana, dia memang agak memilih dari segi watak yang ditawarkan dalam bidang seni sejak dulu.

“Saya tidak akan meninggalkan bidang lakonan yang diminati sejak dulu. Saya bertuah kerana suami juga menyokong minat dan tidak meletak sebarang syarat dari segi watak dalam lakonan.

“Bagaimanapun, saya akan meminta pandangannya dulu apabila mendapat tawaran berlakon. Apa yang penting, saya perlu menjaga batas sebagai isteri, menjaga nama baik suami dan keluarga,” katanya

Mengenai drama Mata Cinta pula, kata Juliana, ia projek berbeza daripada pernah dilakonkan sebelum ini.

“Saya rindu untuk kembali berlakon dan ada kelapangan bila ditawarkan projek ini. Watak saya sebagai Matahari juga berbeza dan ‘gila-gila’. Penggambaran berlangsung dua bulan lalu dan jalan ceritanya menarik serta ringan,” katanya.

Mata Cinta turut menampilkan pelakon seperti Sasha Saidin, Dynas Mokhtar, Julian Buteau, Syamin Farid, Aush Abdul Wahid dan Adery Chin.

Ia bakal menemui penonton menerusi platform digital bermula 9 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 6:09 AM