JOE Biden ketika tiba di New York. FOTO Reuters.
JOE Biden ketika tiba di New York. FOTO Reuters.
AFP

New York: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, beliau berharap gencatan senjata di Gaza dapat dimulakan Isnin minggu depan.

Di sebalik krisis kemanusiaan yang semakin meningkat di wilayah Palestin, wakil dari Mesir, Qatar, Amerika Syarikat, Perancis dan negara lain bertindak menjadi negara perantara bagi Israel dan Hamas, dalam usaha menghentikan pertempuran dan membebaskan tebusan Israel yang ditahan di Gaza.

Perjanjian yang mungkin dicapai termasuk pertukaran puluhan tebusan untuk beberapa ratus tahanan Palestin di penjara Israel.

Biden yang dalam rangka lawatan di New York ketika ditanya bila perjanjian itu akan bermula, berkata:

"Penasihat keselamatan negara memberitahu saya kita sudah hampir (dapat keputusan), kita hampir, (tetapi) belum selesai (rundingan).

"Harapan saya ialah Isnin minggu depan kita akan laksanakan gencatan senjata," katanya.

Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Jake Sullivan berkata, wakil dari beberapa pihak, tidak termasuk pemimpin Hamas, bertemu di Paris, Perancis pada hujung minggu.

"Mereka mendapat persefahaman... mengenai kerangka perjanjian tebusan untuk gencatan senjata sementara," katanya kepada CNN pada Ahad.

Selepas pertemuan di Paris, 'pakar' Mesir, Qatar dan AS mengadakan perjumpaan lanjut di Doha, yang turut disertai wakil Israel dan Hamas, lapor media rasmi kerajaan Mesir, dengan harapan memuktamadkan rundingan damai sebelum Ramadan.

Sumber Hamas memberitahu AFP bahawa 'beberapa pindaan' dicadangkan berhubung isu yang rumit itu tetapi Israel tidak menyatakan sebarang substantif mengenai terma gencatan senjata atau pengunduran dari Semenanjung Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 8:24 AM