TENTERA Israel memasuki Gaza dari selatan Israel. FOTO AFP
TENTERA Israel memasuki Gaza dari selatan Israel. FOTO AFP
AFP

Gaza: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Rabu sekali lagi menolak prospek gencatan senjata di Gaza, ketika ura-ura rundingan untuk gencatan senjata sementara dengan Hamas.

Sumber rapat dengan Hamas sebelum ini berkata, rundingan sedang dijalankan untuk membebaskan sedozen tebusan yang ditahan oleh kumpulan pejuang Islam.

Cadangan pembebasan tebusan itu termasuk enam warga Amerika Syarikat (AS) itu sebagai balasan kepada gencatan senjata selama tiga hari di Gaza.

"Saya ingin menghentikan semua jenis khabar angin palsu yang kami dengar dari semua jenis arah, dan mengulangi satu perkara yang jelas. Tidak akan ada gencatan senjata tanpa pembebasan tebusan kami," kata Netanyahu.

Sumber rapat dengan Hamas berkata, jeda dalam pertempuran sedang diuruskan, untuk membolehkan Mesir melanjutkan tempoh masa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan membiarkan Hamas membebaskan 12 tebusan.

"Terdapat perselisihan pendapat dalam tempoh masa dan sekitar utara (Semenanjung Gaza), yang menyaksikan operasi pertempuran yang meluas," kata sumber itu.

Awal Rabu, sumber berasingan yang diberi taklimat mengenai rundingan itu berkata, Qatar sedang menjadi pengantara rundingan dalam penyelarasan dengan AS bagi membebaskan 10 hingga 15 tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata satu hingga dua hari.

Pertempuran berlaku di Gaza sudah berlaku selama lebih sebulan. Pihak berkuasa Israel sebelum ini dipetik berkata, serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober yang membunuh lebih 1,400 orang dan 239 orang dijadikan tebusan.

Dalam tempoh perang di Gaza, 10,569 mangsa kebanyakannya orang awam terbunuh dalam kempen tentera Israel untuk memusnahkan Hamas, kata kementerian kesihatan di wilayah Palestin yang dikendalikan Hamas.

Qatar terbabit dalam diplomasi tegang untuk mendapatkan pembebasan mereka yang ditawan oleh Hamas, merundingkan penyerahan empat tebusan iaitu dua Israel dan dua rakyat AS dalam minggu kebelakangan ini.

Qatar, yang menjadi tuan rumah pangkalan tentera AS terbesar di Timur Tengah, juga 'rumah' kepada pejabat politik Hamas dan menjadi kediaman utama pemimpin Hamas yang dibuang negeri, Ismail Haniyeh.

Negara teluk emiriah yang kaya itu menjadi penyokong kuat perjuangan Palestin dan mempunyai saluran komunikasi terbuka dengan Hamas, pemerintah Islam Gaza.

Bercakap kepada pemberita pada Ahad, Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani berkata negara teluk itu 'bertekad untuk meneruskan usaha sebagai pengantara' walaupun kesukaran disebabkan tindakan Israel.

Kumpulan Tujuh (G7) negara maju dari segi ekonomi, menyeru pada Rabu untuk 'jeda kemanusiaan dan koridor' dalam konflik itu, tetapi mengelak daripada menyeru gencatan senjata, semasa rundingan di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 11:32 AM